Politeknik & Kolej Komuniti Main Peranan Sedia Graduan Industri Keempat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU : Institusi Politeknik dan Kolej Komuniti memainkan peranan penting dalam menyediakan graduan bagi mendepani revolusi industri keempat.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kecanggihan teknologi masa kini telah mewujudkan dunia tanpa sempadan dan ia perlu dilihat sebagai peluang meningkatkan prestasi diri.

Katanya, peluang itu boleh diambil dengan pelbagai kemahiran baharu sebagai persiapan dan cabaran menghadapi dunia pekerjaan.

“Graduan juga perlu kreatif dalam mencari peluang pekerjaan dan juga ruang menjana ekonomi.

“Saya menyeru para graduan untuk tidak hanya tertumpu kepada aktiviti mencari kerja tetapi berusaha untuk menjadi ‘job creator’.

“Selain itu, saya turut berharap graduan tidak terlalu bersikap memilih pekerjaan, sebaliknya mampu bersaing dan sentiasa berupaya mencipta dan mempunyai nilai tambah yang diperlukan pihak majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu Ke-25 yang diadakan secara maya disini hari ini.

Mohd Arifin berkata, beliau berharap para graduan akan terus menyemarakkan nama Politeknik Malaysia, khususnya Politeknik Kota Kinabalu dengan memperlihatkan kualiti diri yang unggul.

Katanya, graduan juga perlu menjadi graduan yang berilmu, berinovasi, berakhlak mulia dan mempunyai semangat waja untuk menjadi bakal pemimpin pada masa hadapan.

“Saya difahamkan sebentar tadi Politeknik Kota Kinabalu telah melahirkan seramai 25,807 graduan termasuk 2,611 graduan yang diraikan pada tahun ini.

“Saya yakin dan percaya graduan Politeknik Kota Kinabalu yang berada di dalam dewan ini mahupun di luar sana merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan dan penjanaan ekonomi negara kita,” katanya.

Sementara itu, Mohd Arifin berkata, tenaga pekerja berkemahiran tinggi dilihat sebagai sumber penting dalam menjamin pertumbuhan industri yang lebih mampan dan membangunkan sebuah negara.

“Justeru, saya turut berasa bangga dengan kadar kebolehpasaran graduan Politeknik Kota Kinabalu, yang difahamkan sebanyak 90.1 peratus pada tahun 2020.

“Peratusan ini agak menurun sedikit berbanding pencapaian pada tahun 2019 iaitu 96.5 peratus. Namun jumlah peratusan ini masih boleh dibanggakan kerana melebihi 90 peratus walaupun negara dilanda pandemik COVID-19 yang telah memberi impak yang besar kepada sistem ekonomi, politik, sosial, kesihatan, dan pendidikan negara.

“Ini membuktikan bahawa Politeknik Kota Kinabalu telah berjaya melahirkan graduan berkemahiran tinggi seiring dengan keperluan industri masa kini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *