HomeEkonomiDelegasi Ke Festival Kuala Lumpur Promosi Keunikan Budaya & Alam Semulajadi Sabah

Delegasi Ke Festival Kuala Lumpur Promosi Keunikan Budaya & Alam Semulajadi Sabah

Read Time:2 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Penyertaan Sabah dalam sambutan Festival KLWKND di Kuala Lumpur baru-baru ini membuahkan hasil yang dapat membantu ekonomi negeri.

Festival itu disertai Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC), sebuah agensi kerajaan negeri berkaitan teknologi industri, inovasi dan kreativiti atas jemputan agensi persekutuan.

Pengurus delegasi Sabah ke festival berkenaan, Eva Chris Anthony, berkata kolaborasi dengan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) itu adalah satu daripada inisiatif kerajaan untuk memulihkan industri pelancongan.

“Berdasarkan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), pelancongan adalah satu daripada industri utama di Sabah. SCENIC mengambil langkah proaktif ini untuk bekerjasama dengan pemegang taruh negeri dan persekutuan dalam mengukuhkan imej Sabah yang kaya dengan sumber semulajadi, hutan tropika dan adat budaya.

“SCENIC melihat kolaborasi ini sebagai satu peluang untuk menghidupkan semula ekonomi Sabah, khususnya dalam sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik dengan membawa kekayaan budaya dan kraftangan Sabah ke Kuala Lumpur.

“Ia secara tidak langsung menarik ramai pelancong untuk datang semula ke Sabah dan membantu sektor pelancongannya,” katanya.

Sepanjang festival yang bermula pada 25 November hingga 28 November lalu, SCENIC mengambil bahagian dalam tiga segmen utama iaitu Artisan Terbaik Malaysia, Penyembuhan Alam Semulajadi dan Hutan di Bandar Raya.

Eva yang juga Penolong Pakar Program & Pembangun Komuniti SCENIC, berkata usahawan Sabah yang ditaja oleh SCENIC dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) berjaya mengutip RM45,050 hasil jualan.

Katanya, mereka sangat berbangga diberi peluang untuk menyertai Festival KLWKND.

Antara usahawan yang menyertai festival itu ialah Juddy Lasius (Koondos), Armand (Koko Loko), Kraftangan Persatuan Wanita Pulau Omadal (WAPO), Kraftangan Kelarai Batu Lunguyan oleh Emily Jeneble Saring Handmade Borneo Natives Jewelry oleh Jassica Lintanga dan Pengkraf Manik Murut Boakan oleh Rasmah Rumambai.

Jurucakap LKNS berkata, pengkarya terbabit dipilih menyertai acara itu berdasarkan keunikan produk buatan tangan yang mereka hasilkan.

“Bukan itu saja, teknik mereka dalam menghasilkan produk terbabit juga sangat jarang dilihat pada hari ini, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Hasil jualan mereka juga sangat menggalakkan kerana banyak produk mereka habis dijual. Mereka juga berkata hasil sepanjang festival itu adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan hasil yang pernah diperolehi di tempat lain sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah, kraftangan terbabit khususnya aksesori sesuai untuk semua acara setiap hari dan semua peringkat umur.

Pengunjung melawat gerai UMS sambil menonton video 360 darjah “The Healing Spirit of Kinabatangan” di segmen “Forest in the city” semasa KLWKND. – Foto ihsan SCENIC

SCENIC turut bekerjasama dengan pakar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Borneo Eco Tours untuk mempersembahkan pertunjukan video 360 darjah ‘The Healing of Kinabatangan’ untuk segmen Hutan di Bandar Raya ketika festival berkenaan.

Jurucakap UMS, Prof Madya Dr Jidon @ Adrian Janaun, berkata mereka mempromosikan Kinabatangan sebagai hutan yang tenang yang memiliki kuasa penyembuhan alam semulajadi kepada minda yang sibuk dan keletihan.

“Ia juga sejajar dengan tema Hutan di Bandar Raya, satu daripada acara dalam KLWKND, yang mana hutan semulajadi dapat membantu membawa keamanan dan ketenangan kepada minda.

“Kita menerima maklum balas yang sangat positif. Pengunjung berterima kasih atas peluang mengalami sendiri apa yang ada dalam persembahan itu.

“Mereka dapat menikmati ketenangan hutan Kinabatangan. Mereka berminat untuk melihat lebih banyak persembahan seperti itu supaya mereka boleh datang dan menikmatinya pada bila-bila masa,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya