Sabah Beri Keutamaan Kurangkan Kesan Perubahan Iklim

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Sejajar dengan Dasar Negeri Sabah mengenai alam sekitar serta aspirasi negara terutamanya dalam proses mitigasi dan adaptasi iklim, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa mengurangkan kesan perubahan iklim menjadi agenda utama kerajaan negeri ini.

“Sebagai komitmen bagi mengurangkan kesan perubahan iklim, kerajaan negeri menyasarkan untuk menanam kira-kira 36 juta pokok sebagai sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia seluruh negara bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” yang akan berlangsung selama lima tahun sehingga 2025,” katanya.

Setakat ini, katanya hampir 4.5 juta pokok telah pun ditanam di seluruh negeri. Selain itu, Ketua Menteri berkata Sabah juga telah menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Sabah untuk membincangkan dasar dan tindakan perubahan iklim, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memangkin teknologi hijau serta pertumbuhan rendah karbon.

“Perubahan iklim adalah salah satu aspek utama di dalam Dasar dan kami komited untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan kualiti udara Sabah tidak akan merosot akibat aktiviti pembangunan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Perubahan Iklim Sabah 2021 di sini pada Selasa.

Persidangan dua hari secara hibrid yang diadakan di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort, melalui Zoom serta YouTube itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Program Penyelidikan Hutan Hutan Asia Tenggara (SEARRP) bersama PETRONAS sebagai penaja utama.

Katanya, persidangan itu tepat pada masanya kerana kesan perubahan iklim seperti peningkatan suhu, kemarau yang semakin teruk, kebakaran dan jerebu, kekerapan hujan lebat dan ribut hingga menyebabkan banjir di kawasan pedalaman dan pantai, serta ancaman yang semakin meningkat terhadap keselamatan makanan, kini dirasai secara global.

“Sabah tidak terkecuali,” katanya sambil menambah bahawa persidangan itu bukan sahaja akan meningkatkan kesedaran mengenai kesan perubahan iklim kepada masyarakat tetapi berkongsi pengetahuan serta kemudahan rangkaian.

“Saya berharap persidangan ini juga akan meningkatkan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam kedua-dua agenda iaitu perubahan iklim dan pemuliharaan.

“Saya juga berhasrat untuk melihat penyertaan lebih ramai belia supaya mereka juga boleh menyuarakan tindakan terhadap perubahan iklim,” katanya.

Hajiji berkata, Malaysia juga sedang berusaha secara aktif untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan mempergiatkan usahanya melalui pelbagai kementerian serta agensi dalam inisiatif mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.

Malaysia juga mengambil bahagian dalam kerjasama dan perjanjian antarabangsa, seperti Perjanjian Paris yang berkuat kuasa pada 2016.

Beliau berkata pada Persidangan Perubahan Iklim (COP26) Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu di Glasgow, Scotland, baru-baru ini, Malaysia telah mengulangi komitmennya untuk mencapai pengurangan pelepasan gas rumah kaca melalui pengemaskinian Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) dan aspirasi untuk mencapai pelepasan bersih sifar pada tahun 2050.

Sambil merakamkan penghargaan kerajaan negeri atas komitmen semua untuk menjayakan persidangan itu, Hajiji berharap ia akan menjadi platform untuk tindakan yang lebih jauh dalam menangani isu perubahan iklim bersama.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong; Ketua Penasihat Kerajaan dan Pengawal Selia PETRONAS, Anuar Ismail; Pengarah SEARRP, Datuk Dr Glen Reynolds dan Penasihat Teknikal kepada Ketua Menteri Berkaitan Perubahan Iklim, Datuk Darrel Webber.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *