Agensi Keselamatan & Kesihatan Diarah Siapsiaga Hadapi Bencana Banjir Seluruh Negara

Read Time:58 Second

Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]

KUALA LUMPUR : Seluruh jentera kerajaan khususnya agensi keselamatan dan kesihatan diarah supaya berada dalam kesiapsiagaan peringkat tertinggi bagi menghadapi bencana banjir.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, berikutan itu Arahan MKN No.20 (Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara) wajib diaktifkan segera.

“Arahan itu wajib diaktifkan segera melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Ia adalah bagi menyusun strategi terbaik dan mengkoordinasi pelaksanaan pengurusan bencana banjir di lapangan yang berlaku dengan berkesan,”katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Rodzi berkata, MKN menyeru seluruh agensi Kerajaan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan dan orang perseorangan untuk sama-sama berganding bahu memainkan peranan masing-masing supaya persediaan menghadapi bencana banjir akan lebih tersusun demi keselamatan rakyat dan keselamatan negara.

Katanya,  hal ini selaras dengan pendekatan “whole of government, whole of society approach”.

“Seluruh keluarga Malaysia diminta supaya sentiasa mematuhi arahan dan makluman berkaitan bencana dari sumber yang sahih dan boleh dipercayai.

“Marilah kita mendoakan agar negara kita terhindar dari segala bencana dan semua keluarga Malaysia sentiasa kekal sejahtera dan selamat,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *