HomeUtamaKerajaan GRS Bekerja Keras Bawa Kemajuan Pada Tahun 2022

Kerajaan GRS Bekerja Keras Bawa Kemajuan Pada Tahun 2022

Read Time:2 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih komited dan bekerja keras membawa kemajuan kepada Sabah serta rakyatnya walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pandemik ini telah membawa banyak cabaran tetapi kita telah melakukan yang terbaik untuk menanganinya termasuk krisis ekonomi dan kesihatan selama hampir dua tahun.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag, menyampaikan sumbangan kepada salah seorang orang kurang upaya sempena sambutan Hari Krismas 2021 kepada penduduk di Sulaman dan Pantai Dalit, di Kampung Serusop, di Tuaran pada Khamis
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag, menyampaikan sumbangan kepada salah seorang orang kurang upaya sempena sambutan Hari Krismas 2021 kepada penduduk di Sulaman dan Pantai Dalit, di Kampung Serusop, di Tuaran pada Khamis.

“Kerajaan negeri tidak pernah goyah dalam usaha melaksanakan pelan pembangunan walaupun ketika krisis dan kita akan meneruskannya dengan bersungguh-sungguh pada tahun 2022 untuk memastikan agenda pembangunan seperti yang kita gariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta Belanjawan 2022 negeri berjalan dengan lancar,” katanya.

Menurut Hajiji, pelan pembangunan lima tahun Hala Tuju SMJ di bawah kerajaan negeri GRS yang dilancarkan dengan jayanya pada bulan Mac lalu, telah menyaksikan pemeteraian tiga pelaburan berskala besar bernilai RM10 bilion iaitu Lok Kawi Resort City, pembinaan kilang pengeluaran kerajang tembaga dan projek penanaman kelapa berhasil tinggi.

“Semua ini amat penting dan akan membawa impak yang besar kepada rakyat Sabah serta ekonomi negeri,” katanya dalam perutusannya sempena sambutan Krismas 2021 dan Tahun Baharu 2022.

“Kerajaan negeri tidak pernah berhenti mencari lebih banyak lagi pelaburan berimpak tinggi dan beberapa lagi perbincangan masih dijalankan antara pelabur bersama kerajaan negeri untuk membawa pelaburan ke Sabah, sambil menambah bahawa negeri ini berada di landasan yang betul untuk menjadi pusat pangkalan data pelabur kepada ASEAN seiring kerangka pembangunan kerajaan GRS menerusi platform Hala Tuju SMJ.

“Apabila cadangan pelaburan ini dimuktamadkan, ia akan membantu merangsang semula pertumbuhan ekonomi negeri kita untuk membawa manfaat kepada rakyat dan negeri,” ujarnya.

Hajiji turut merakamkan terima kasih kepada rakyat Sabah atas kepercayaan dan sokongan berterusan kepada kerajaan negeri GRS untuk memimpin serta membangunkan negeri ini, dan meminta mereka agar terus menjaga keamanan serta kestabilan bagi memastikan Sabah dapat menarik lebih ramai pelabur berpotensi ke negeri ini.

Katanya, kelulusan sebulat suara Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 di Parlimen baru-baru ini, adalah satu peristiwa penting yang akan membuka jalan kepada pemulihan sepenuhnya hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam pada itu, Hajiji menyatakan beberapa tuntutan lain dari Sabah telah berjaya diselesaikan
melalui Majlis Khas mengenai MA63, sambil menambah bahawa penurunan kuasa kepada Sabah untuk pengeluaran lesen penangkatan ikan laut dalam adalah salah satu bukti bahawa hak dan keistimewaan Sabah, seperti yang diperuntukkan di bawah MA63, telah diiktiraf.

Sebagai penutup tirai bagi tahun yang produktif ini, kata Hajiji, kejayaan lain ialah menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara kerajaan negeri dan PETRONAS yang menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas di Sabah.

Hasilnya juga adalah penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd, iaitu syarikat minyak dan gas milik penuh Sabah, sambil menambah bahawa kerajaan negeri juga dalam proses memuktamadkan Pelan Induk Gas Sabah dengan PETRONAS yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Beliau berharap sambutan Krismas akan mengukuhkan perpaduan, toleransi beragama dan saling menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri.

Hajiji turut mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Tahun Baharu 2022 kepada semua.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular