COVID-19 : Sabah Terus Catat Peningkatan Kes Jangkitan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 di Sabah terus mencatat trend peningkatan sebanyak 264 kes baharu dengan kenaikan sebanyak 33 kes berbanding semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daerah Kota Kinabalu masih kekal menjadi daerah dengan catatan kes tertinggi iaitu sebanyak 56 kes atau 1/5 daripada jumlah kes di negeri ini.

Katanya, Kluster Bahtera Kinabalu menyumbang sebanyak 20 kes baharu bagi daerah Kota Kinabalu.

“Jumlah daerah yang merekodkan peningkatan kes dan penurunan kes agak setara, yakni masing-masing 11 daerah.

“Yang membezakan ialah kadar peningkatan kes baharu dibeberapa daerah yang merekodkan pertambahan kes jauh lebih tinggi daripada kadar penurunan kes baharu di daerah-daerah dimana kes harian telah berkurangan,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, jumlah pertambahan kes baharu di Ranau ialah 23 kes dan di Tuaran 20 kes, sedangkan penurunan yang paling banyak ialah 10 kes di daerah Beaufort.

Katanya, jumlah kes di lima lagi daerah tidak berubah seperti sebelumnya dan tidak ada kes baharu di enam daerah.

“Keberkesanan vaksin terbukti  melalui statistik kategori pesakit-pesakit baharu yang rata-rata majoritinya sudah lengkap divaksin.

“Seramai 257 orang daripada 264 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, seorang dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan seorang dalam Kategori 5,”katanya.

Masidi berkata, pesakit-pesakit Kategori 1 dan 2 hanya sekadar mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

“Kes yang melibatkan tiga orang pesakit lagi masih dalam penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *