Banjir : Jumlah Mangsa Terus Meningkat, Lima Lagi PPS Ditambah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU :  Jumlah mangsa banjir di Sabah terus mencatat peningkatan seramai 1,826 orang yang ditempatkan di 20 buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) sehingga jam 8 malam tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, jumlah itu meningkat berbanding 1,249 orang mangsa yang ditempatkan di 15 buah PPS sehingga jam 4 petang tadi.

Katanya, Kota Marudu terus mencatat penambahan mangsa banjir dengan empat lagi PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Ranau yang menempatkan 182 mangsa melibatkan 60 Ketua Isi Rumah (KIR).

“Turut dibuka di Kota Marudu adalah di Dewan Asin-Asin yang menempatkan 72 mangsa melibatkan 21 KIR; Dewan Komuniti seramai 36 mangsa melibatkan 10 KIR dan Dewan Mosolog menempatkan 152 mangsa melibatkan 51 KIR.

“Manakala di Paitan, sebuah PPS ditambah iaitu di Dewan Kampung Sungai-Sungai yang menempatkan seramai 29 mangsa melibatkan lima KIR,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Katanya, bagi daerah Beluran; Telupid; Sandakan dan Pitas masih kekal dengan PPS sedia ada namun beberapa PPS merekodkan penambahan mangsa banjir.

Antara PPS yang merekodkan penambahan mangsa banjir adalah di PPS Masjid Nur Iman Sungai Memanjang Sandakan dengan jumlah seramai 151 orang mangsa berbanding 61 mangsa pada petang tadi.

Turut bertambah mangsa di tempatkan di PPS adalah di Dewan SK Salimpodon dengan jumlah mangsa seramai 39 orang berbanding 36 orang petang tadi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *