Mahdzir khalid

KPLB Segerakan Inisiatif Menyokong Bantuan Banjir Keluarga Malaysia

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 9 Second

PUTRAJAYA: Memahami kesengsaraan dan kerugian yang ditanggung mangsa bencana banjir, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengambil serius untuk menyegerakan bantuan banjir Keluarga Malaysia berdasarkan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan tahun baru 2022.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPLB bersama lapan agensinya iaitu MARA, RISDA, FELCRA, KEJORA, KESEDAR, KETENGAH, KEDA dan PERDA, sedia melaksanakan inisiatif bantuan Keluarga Malaysia pada kadar segera mengikut peruntukan sedia ada.

“Ketika ini dalam fasa pasca banjir, KPLB dan semua agensi kita sedang melaksanakan kerja-kerja penilaian kerosakan yang dialami oleh mangsa banjir selain menjalankan kerja-kerja pembersihan menerusi pasukan sukarelawan kita yang turun padang di Bentong, Hulu Langat dan juga Banting untuk membantu mangsa banjir.

Kita juga komited dalam memastikan segala bantuan disalurkan segera bagi memastikan kebajikan dan keperluan mangsa banjir terutama di luar bandar terjamin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelas Mahdzir, lebih tiga ribu sukarelawan KPLB dan agensinya digerakkan bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir termasuk membaiki pendawaian dan barangan elektrik di Kawasan Angkat di Bukit Changgang, Banting, Huala Langat dan Kampung Karak Setia, Bentong, Pahang.

KPLB juga katanya, memperuntukkan sejumlah RM4 juta dalam bentuk sumbangan barangan keperluan seperti bakul makanan dan kit pembersihan diri kepada mangsa banjir.

Bagi bantuan baik pulih rumah, KPLB menyediakan peruntukan RM15 ribu bagi setiap rumah penduduk luar bandar yang layak menerima bantuan itu.

Manakala RM56 ribu diperuntukkan bagi bantuan bina baharu rumah mangsa banjir yang kehilangan kediaman sepenuhnya.

“Lima insentif pemberian tunai disediakan oleh kerajaan Keluarga Malaysia seperti yang diumumkan oleh YAB. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mana keseluruhannya mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah, malah mencapai sehingga RM61,000 bagi individu yang mengalami kemusnahan rumah.”

KPLB juga tambah Mahdzir, sedang mengumpul data di seluruh negeri yang terjejas banjir untuk pelan pembaikan dan peruntukan kos untuk perumahan rakyat termiskin, PPRT, jalan kampung, jalan perhubungan desa, jambatan, longkang surau, taska, tabika serta ameniti sosial yang lain di bawah seliaan KPLB.

Selain itu, MARA turut meringankan beban kewangan mangsa banjir dengan memberi kelonggaran penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran dan perniagaan selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.

MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan MARA yang terkesan dengan bencana banjir luar biasa yang melanda kali ini.

Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa.

“KPLB berharap program bantuan yang menyeluruh ini akan dapat membantu melegakan kebimbangan terhadap komitmen kewangan di waktu yang sungguh mencabar ini sambil mengekalkan simpanan KWSP masing-masing,” kata Mahdzir.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *