KePKAS Peruntuk RM250,000 Bangunkan Dataran Tamu Sukau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:55 Second

KINABATANGAN: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) memperuntukkan  sekurang-kurangnya RM250,000 bagi membangunkan Dataran Tamu Sukau disini.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, dataran dan gerai di sekitarnya berpotensi untuk dibangunkan menjadi pusat tumpuan pelancong sekaligus meningkatkan ekonomi setempat.

“Pihak KePKAS bersama dengan Majlis Daerah Kinabatangan kini dalam perancangan untuk menaik taraf dan mengindahkan lagi kawasan serta fasiliti sedia ada.

“Dataran itu juga adalah tempat untuk mengadakan pelbagai program kebudayaan antaranya Pesta Damas anjuran Persatuan Bangsa Sungai Sabah SABAS,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Jafry berkata, sebelum negara dilanda pandemik COVID-19, acara kebudayaan itu telah berjaya menarik bukan sahaja pelancong tempatan malah luar negara khususnya daripada negara Eropah untuk datang ke Sukau.

Katanya, Sukau yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Sandakan menjadi antara lokasi yang terkenal dengan pelbagai jenis hidupan liar yang boleh dilihat di habitat semulajadinya pada jarak dekat antaranya gajah pigmi, monyet Proboscis dan banyak lagi.

Dalam pada itu, KePKAS turut bercadang untuk menjadikan tempat itu sebagai salah satu destinasi persinggahan pelancongan berkonsepkan ikonik seni yang menawarkan produk berteraskan seni, kraf dan warisan masyarakat tempatan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *