MUIS Perkenal Beberapa Program, Rancang Wujudkan Taman Tanah Perkuburan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 6 Second

PITAS: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan memperkenalkan beberapa program tahun ini selain akan memberi fokus bagi mewujudkan taman tanah perkuburan di Sabah agar lebih tersusun dan kemas.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, dua model taman tanah perkuburan yang tersusun akan dijadikan contoh bagi tanah perkuburan lain di negeri ini.

“Kita telah mengenal pasti tanah perkuburan Kampung Lobou, Sepanggar dan Batu 12 Sandakan yang setakat ini merupakan tanah perkuburan yang tersusun.

“Selain itu, kita melihat ada beberapa daerah atau kampung di negeri ini menghadapi masalah berkaitan tanah perkuburan dan saya sudah meminta kepada pegawai daerah yang menjadi pengerusi dakwah untuk mencari tanah yang sesuai untuk dijadikan tanah perkuburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat mangsa banjir di daerah Pitas, disini semalam.

Mohd Arifin berkata, usaha turut dilaksanakan untuk melebarkan tanah perkuburan di beberapa buah tempat di negeri ini.

Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, MUIS akan turut memperkasa Lembaga Wakaf Sabah dan terus mengembangkan wakaf di negeri ini.

Katanya, selain itu, MUIS juga akan turut memperkasa hub halal Sabah selain Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah juga akan memperkasa aplikasi e-Jariah.

“Ini bagi membolehkan umat Islam menyumbang secara atas talian.

“Pada tahun ini juga kita akan memantapkan lagi kegiatan kesenian berhubung dengan budaya Islam dimana beberapa aktiviti akan turut dihidupkan semula,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *