NADMA Arah PKOB Sabah,Sarawak Bersedia Hadapi Banjir

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

KUALA LUMPUR: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) peringkat negeri dan daerah di Sarawak dan Sabah diarahkan bersiap siaga termasuk mengaktifkan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan arahan itu berikutan ramalan luruan monsun dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan.

Menurut agensi itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu memastikan ketersediaan stok bekalan pangkalan hadapan di Sabah dan Sarawak bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir.

“Sebagai sebahagian daripada kesiapsiagaan juga, PKOB Sarawak perlu menyelaras penyampaian makluman kepada penduduk di kawasan yang berisiko berlaku banjir agar mereka siap siaga jika berlakunya bencana,” demikian menurut Nadma menerusi kenyataan, disini semalam.

Terdahulu, ramalan cuaca signifikan bagi tempoh 6 hingga 12 Jan yang dikeluarkan MetMalaysia semalam menyatakan kawasan penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak mulai Ahad (9 Jan).

Jabatan itu menjelaskan keadaan tersebut boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan seterusnya mengakibatkan banjir terutama di bahagian tengah dan barat Sarawak, selain pada masa sama ribut petir masih boleh berlaku di seluruh negara pada pagi dan petang hingga malam.

Menurut Nadma, berdasarkan laporan bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) setakat 10 pagi semalam, sebanyak 50 lokasi jalan di negeri yang masih terjejas akibat bencana, sedang menjalani proses pembersihan.

“Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pula melaporkan terdapat lima lagi kejadian tanah runtuh, iaitu tiga di Sabah sementara Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing satu yang menjadikan jumlah kumulatif kejadian tanah runtuh berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut kini sebanyak 250 kes,” katanya.

Bagi status operasi pembersihan pascabanjir oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sehingga semalam, 90 peratus kawasan di Selangor yang terjejas banjir telah dibersihkan. -BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *