Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KSTI bergambar bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan (tengah).

Sabah Tubuhkan Sandbox Pertama Di Borneo

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 51 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sabah akan mewujudkan Sandbox yang pertama di Borneo iaitu salah satu kolaborasi terkini antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dengan agensinya, Sabah Net Sdn. Bhd dan SCENIC.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan berkata, selain Sabah Net Sdn Bhd dan SCENIC, ia juga turut dijayakan oleh Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS) dan MRANTI.

MRANTI adalah gabungan Taman Teknologi Malaysia (TPM) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

“Saya difahamkan oleh NTIS bahawa ini merupakan Sandbox yang pertama di Sabah dan juga di Malaysia Timur. Sandbox ini akan dilancarkan selewat-lewatnya pada pertengahan tahun 2022.

“”Sandbox ini merupakan pusat mengumpul pakar-pakar dalam pelbagai bidang, contohnya dalam usaha mahu menjadikan bangunan KSTI sebagai pembangunan yang digital, kita akan mengumpul pakar-pakar yang berkenaan dengan digital untuk melahirkan idea dan mencetuskan ilham bagaimana sepatutnya yang sesuai dengan keadaan bangunan tersebut, selain itu ia juga terdiri dari pelbagai aspek termasuk pertanian, perikanan dan pelancongan.

“Kita akan manfaatkan Sandbox ini dan diyakini dapat membantu menyumbang kepada kemajuan negeri Sabah selaras dengan Sabah Maju Jaya,” kata Yakub semasa menyampaikan ucapan Amanat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi seterusnya melancarkan Laman Web Rasmi KSTI Baharu, Dashboard KSTI dan Digital Buletin di Pusat Konvensyen Sabah di sini pada Khamis. (6 Jan)

Yakub turut mengalu-alukan para belia yang mempunyai idea atau kepakaran dalam apa juga bidang boleh turut serta mencurah dan melahirkan kepakaran masing-masing dalam Sandbox ini.

“Sandbox akan menjadi satu platform kepada belia bagi menguji idea teknologi baru yang dapat memacu ekonomi negeri, meningkatkan produktiviti sektor awam dan swasta serta secara tidak langsung menggalakkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STl),” ujarnya.

“Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab dalam membangunkan teknologi dan inovasi di Negeri Sabah, usaha ini amat memberangsangkan bagi Kementerian untuk lebih gigih memperkembangkan lagi program seumpama ke daerah-daerah lain di samping menggunakan platform NTIS untuk memacu penyerapan inovasi ke Sabah.

“Pihak KSTI juga berpeluang menggunakan platform NTIS untuk memacu penyerapan inovasi ke Sabah. Kolaborasi strategik dengan NTIS juga membolehkan Kementerian memanfaatkan dana inovasi dari pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia,” katanya.

Terdahulu, majlis itu juga turut mengadakan Penyampaian Anugerah Khas, Penyampaian Jasamu Dikenang dan Penyampaian Anugerah perkhidmatan Cemerlang bagi kakitangan KSTI.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *