Sentiasa Utamakan Keselamatan Diri, Keluarga Ketika Banjir – Ruslan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

BEAUFORT : Penduduk di beberapa buah kampung yang sering terjejas banjir di daerah ini diingatkan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam  berkata, ibu bapa khususnya turut diingatkan untuk sentiasa memastikan keselamatan anak-anak agar tidak bermain air banjir bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

Katanya, penduduk yang terjejas banjir juga perlu sentiasa mematuhi arahan anggota keselamatan sekiranya diarahkan untuk berpindah.

“Saya juga menyeru kepada semua masyarakat agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan dapatkan maklumat yang tepat dari Jabatan Meoteologi Malaysia agar dapat kita mengambil langkah awal sebagai langkah berjaga jaga dan bersiap sedia dalam apa juga kemungkinan.

Ruslan meninjau kawasan yang digenangi air banjir

“Sekiranya keadaan tidak mengizinkan segeralah menghubungi pemimpin kampung atau terus membuat panggilan kecemasan bagi mendapatkan bantuan segera,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya disini semalam.

Ruslan berkata, beliau turut mengarahkan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan untuk sentiasa berhubung dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk mendapatkan maklumat jika berlaku banjir.

“Awal pagi semalam saya bersama dengan Pegawai Daerah Beaufort yang juga Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Abdul Imam Basirun meninjau Kampung Balibata dan Kampung Binunuk bagi meninjau keadaan banjir semasa.

“Saya di fahamkan oleh ketua kampung air mula naik membanjiri kawasan kampung sejak semalam (kelmarin) lagi,” katanya.

Katanya, seramai 218 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas banjir di kedua-dua buah kampung ini, namun keadaan masih terkawal.

“Walaupun keadaan masih terkawal, pihak PKOB dan agensi berkaitan telah bersiap siaga bagi menghadapi sekiranya berlaku banjir di kawasan kawasan yang telah dikenal pasti,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *