Raja Bomoh kembali dengan ‘Puteri Zaleha’ buat ritual tolak bala

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 22 Second

KUALA LUMPUR: Ketika banjir melanda beberapa negeri di Malaysia, nama “Raja Bomoh” kembali menjadi sebutan warganet.

Selepas mendakwa memagar seluruh dunia daripada penularan COVID-19, “Raja Bomoh” atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin kini tampil dengan ‘ritual baharu’.

Kali ini, dia tidak keseorangan, sebaliknya tampil dengan seorang wanita yang dikenali sebagai “Puteri Zaleha” lapor portal awani semalam.

Menurut kemas kini di laman Facebook Perak Press, dua individu tersebut didakwa membuat ritual menolak bala berdekatan Teluk Gelanggang, Teluk Intan, Perak.

“Teluk Intan Raja Bomoh 1 Malaysia datang lagi, kali ini dia bergabung pula dengan Puteri Zaleha, serai semambu. (Menurut sumber) buat ritual tolak bala dekat Teluk Gelanggang, Teluk Anson hari ini,” demikian tulis hantaran tersebut.

Menerusi video berdurasi lebih 25 minit itu, ritual tersebut dimulakan oleh ‘aksi’ Zaleha, termasuk kedengaran menyanyikan lirik berbunyi “puteri mayang sari, puteri terunggul lagi terpuji”.

Turut kelihatan dalam rakaman tersebut beberapa bahan yang digunakan untuk upacara berkenaan termasuk kunyit dan bunga-bungaan.

Dalam keadaan mengadap pantai, Zaleha berkata: “Hari ini kita buat pelepasan supaya air lautan tidak mengganas di Teluk Anson, kerana tilik puteri, tengok air laut kemungkinan akan melimpah ruah dan tenggelam teluk ini.

“Bahan-bahan ritual itu kemudian dilihat dihanyutkan ke dalam laut.

Sementara itu, Ibrahim dalam video tersebut mendakwa upacara yang dilakukan itu adalah untuk memohon supaya banjir disurutkan.

“Upacara yang kita buat hari ini adalah upacara petua-petua di zaman dahulu. Kita memohon kepada Allah SWT, kita minta supaya Teluk Intan ini jangan banjir atau jangan banjir besar, dapat disurutkan dengan izin Allah.

“Kita berdoa kepada Allah, kita buat di tepi pantai supaya bagi salam kepada Nabi Khidir bersama puan Zaleha, pengasas Serai Semambu,” dakwanya. – Awani

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *