91 KIR Dipindahkan Ke PPS Terima BWI Di Beluran

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 23 Second

BELURAN : Seramai 10 Ketua Isi Rumah (KIR) yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini akibat banjir menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat bencana alam itu.

Setiap KIR menerima BWI itu berjumlah RM1,000 yang disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang juga Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada majlis penyerahan di Dewan Kampung Balaban Jaya di sini, hari ini.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, Ronald berkata banjir yang melanda kawasan Parlimen Beluran kali ini, mengakibatkan pemindahan seramai 91 KIR di tiga daerah iaitu Telupid, Beluran dan Daerah Kecil Paitan yang keseluruhan mangsa terlibat adalah seramai 298 orang.

“Hari ini kita sampaikan bantuan wang ihsan daripada kerajaan sebanyak RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara.

“Jadi penyampaian pada hari ini melibatkan 10 Ketua Isi Rumah di daerah Beluran, daerah lain akan menyusul kemudian iaitu di daerah Telupid dan daerah kecil Paitan,” katanya.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk Samad Jambri, Penolong Pegawai Daerah Beluran Leprus Esuvas@Giswa dan Ketua Polis Daerah Beluran Supt Kasim Muda.

Pada masa sama, beliau berkata dana dan bantuan lain yang disalurkan oleh kerajaan pada kali ini kepada mangsa banjir akan menyusul termasuk pembaikan rumah serta peralatan yang telah pun disenaraikan oleh kerajaan sebagai dana yang akan disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Ronald berkata di kawasan Parlimen Beluran ini juga melibatkan kerosakan rumah dan ada beberapa rumah yang musnah serta tidak boleh dibaiki yang akan menerima bantuan khusus dari dana yang telah diumumkan oleh kerajaan.

Menurutnya banjir yang melanda di Parlimen Beluran kali ini juga melibatkan kehilangan korban seramai 2 orang iaitu satu berlaku di daerah Telupid dan satu berlaku di daerah kecil Paitan.

“Seperti yang dijanjikan kerajaan, setiap waris kepada dua mangsa ini akan menerima sumbangan RM10,000 khusus kepada keluarga yang ditimpa kemalangan jiwa,” katanya.

Dalam pada itu, Ronald berkata penduduk di Parlimen Beluran perlu terus memberi kerjasama kepada pihak keselamatan terutama apabila diarahkan berpindah ke PPS atas faktor  keselamatan mereka.

Beliau juga berkata kerajaan sentiasa memberikan perhatian dan bantuan yang perlu kepada mangsa banjir dan menerusi MAFI, dana RM100 juta telah diasingkan dari dana belanjawan yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada kementerian pada tahun 2022.

Katanya dana sebanyak RM100 juta itu khusus untuk membantu pengusaha-pengusaha sektor agromakanan untuk memulakan semula perusahaan mereka.

“Ini termasuk pemberian in-kind, pembaikan kandang, pembaikan reban dan kolam dan juga tanaman. Begitu juga ada dana yang khusus untuk padi dan tanaman-tanaman yang lain telah diperuntukkan oleh kerajaan melalui MAFI disamping dana peruntukan untuk bencana alam yang khusus iaitu RM80juta,” katanya.

Ronald berkata penyediaan bantuan dan dana ini menunjukkan keprihatinan kerajaan melalui semua kementerian yang ada untuk terus membantu rakyat Malaysia yang terkesan oleh banjir yang melanda negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *