KOTA KINABALU : Kredibiliti dimiliki Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee merupakan antara daya penarik utama tiga pemain kebangsaan memilih untuk menyarung jersi The Rhinos bagi saingan Liga Malaysia musim ini.
Pemain tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar berkata, perubahan yang dilakukan pengendali skuad Badak itu juga menjadi antara faktor untuk dirinya memilih Sabah FC.
“Pertama sekali saya telah selamat sampai ke negeri Sabah. Latihan pertama hari ini saya lihat begitu baik, banyak perubahan yang dilakukan oleh Datuk Ong Kim Swee.
“Saya juga nampak sedikit perubahan dari tahun-tahun lalu, jadi saya berasa teruja untuk latihan pertama hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui media selepas selesai menjalani latihan di Stadium Likas disini semalam.
Baddrol turut mengakui ingin mengimpikan satu kejayaan bersama pasukan selain ingin menaikkan kembali nama Sabah pada musim ini.
“Pada musim ini, sasaran peribadi saya adalah untuk memberi tumpuan kepada satu perlawanan ke satu perlawanan dan ingin memberi sesuatu untuk penyokong negeri Sabah,” katanya.
Bagi pemain pertahanan, Rizal Ghazali berkata, meskipun menerima tawaran dari beberapa buah pasukan ternama namun beliau lebih fokus untuk bermain dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
“Pada musim ini, saya ada menerima tawaran dari tiga pasukan tetapi saya perlu memikirkan arah tuju saya, jadi saya lebih fokus untuk duduk bawah Datuk Ong Kim Swee.
“Sudah tentu pada musim ini, saya dan rakan-rakan lain akan fokus satu sama. Tahun ini juga akan lebih baik dari tahun lalu,” katanya.
Perkara sama turut diakui pemain pertahanan Dominic Tan yang melihat perancangan Datuk Ong Kim Swee untuk pasukan musim ini memang baik.
“Buat masa ini saya masih ada sedikit kecederaan dari Piala Suzuki, jadi saya tidak dapat sertai pasukan lagi.
“Tapi saya lihat semua baik, berjalan lancar dan saya juga pernah dibawah Datuk Ong Kim Swee, jadi cara dia memang baiklah,” katanya.
Katanya, sasaran peribadinya untuk musim ini adalah untuk melaksanakan yang terbaik untuk pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia.