Datuk Seri Bung Moktar Radin

MPS Diarah Baiki Jambatan Gantung Usang – Bung

Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) diarah segera membaiki jambatan gantung usang yang menjadi laluan murid dan pelajar di Kampung Nelayan Tengah, Sandakan untuk ke sekolah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ,beliau sudah mengarahkan MPS menyegerakan pembaikan jambatan gantung itu demi keselamatan murid dan pelajar sejurus dimaklumkan mengenai keadaan infrastruktur itu.

“Saya sudah mengarahkan pihak MPS untuk mengambil tindakan segera terhadap perkara ini. Kerajaan amat mengambil berat perkara seumpama ini, lebih-lebih lagi yang membabitkan keselamatan murid dan pelajar sekolah,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambar memaparkan seorang murid sekolah sedang melalui jambatan gantung usang yang membahayakan keselamatan di Kampung Nelayan Tengah, Sandakan ketika hari pertama sesi persekolahan penggal tiga 2021 / 2022, semalam.

Gambar yang dirakam jurugambar Bernama itu menunjukkan keadaan jambatan gantung terbabit yang usang dengan bahagian lantainya sudah hilang, manakala sebahagian jaring besi turut berlubang.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata walaupun jambatan gantung terbabit bukan kemudahan infrastruktur dalam bidang kuasa kementeriannya, namun aspek keselamatan murid amat penting diberi perhatian.

“Kemudahan infrastruktur itu adalah di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT). Oleh itu, saya mengarahkan pihak MPS untuk bertindak segera membaiki kemudahan itu sebelum apa-apa terjadi kepada murid sekolah di kampung berkenaan,” katanya.

Jambatan gantung menjadi penghubung penting di kawasan luar bandar Sabah bagi memudahkan penduduk menyeberangi sungai termasuk untuk kemudahan murid dan pelajar ke sekolah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *