HomeUtamaCBT Bantu Kurangkan Penghijraan Belia Luar Bandar

CBT Bantu Kurangkan Penghijraan Belia Luar Bandar

Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Pelancongan berasaskan komuniti (CBT) boleh mengelak masalah penghijrahan penduduk desa ke bandar dengan menyediakan sumber pendapatan yang mampan kepada belia di kampung.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Noredah Othman, berkata kawasan luar bandar mempunyai peluang ekonomi yang luas untuk dimanfaatkan oleh golongan muda.

“Salah satu objektif STB adalah untuk menggalakkan orang-orang muda bekerja dalam masyarakat dan mereka tidak seharusnya keluar dari kampung untuk mencari pendapatan.

“Pekerjaan ada di mana-mana, dan yang penting ialah usaha. Kawasan luar bandar kaya dengan sumber semula jadi dan persekitaran yang mempesonakan. Justeru, golongan muda boleh mencari pekerjaan dan peluang dalam program CBT,” katanya.

Noredah berkata demikian dalam sesi perkongsian anjuran Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat, Universiti Malaysia Sabah, di sini, pada Khamis.

Sesi itu memfokuskan kepada peluang komuniti luar bandar dalam industri eko-pelancongan. Ia dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat, Dr Elia Godoong.

Perkongsian itu juga membincangkan tentang penghijrahan golongan muda dari luar bandar ke bandar, justeru meninggalkan golongan tua untuk menguruskan kehidupan di kampung.

Noredah berkata golongan belia harus mengekalkan warisan dan terus menetap di kampung bagi membantu mempromosikan perkampungan mereka sebagai destinasi luar bandar dan negeri secara keseluruhannya.

“Kawasan luar bandar adalah destinasi pelancongan yang menarik, dan eko-pelancongan sering dikaitkan dengan alam semula jadi dan komuniti. Maka itu, CBT adalah penting kerana ia menggalakkan orang-orang muda untuk terus memulihara dan memelihara alam sekitar serta menghargai kampung mereka,” katanya.

Tegasnya, pihak STB sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat luar bandar yang berhasrat untuk menceburi bidang CBT dengan menyediakan sokongan, latihan dan dana yang diperlukan.

Beliau berkata pihak lembaga turut bekerjasama dengan persatuan pelancongan daerah untuk membangunkan CBT, sambil menambah 26 daerah di Sabah telah menubuhkan jawatankuasa pelancongan untuk membantu melestarikan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Noredah juga berkata pihak STB terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana universiti bagi inisiatif penyelidikan khususnya pelancongan luar bandar.

“Baru-baru ini, kami menyediakan geran untuk mereka yang ingin dan berminat menjalankan penyelidikan untuk pihak lembaga. Kerjasama sedemikian penting kerana ia membolehkan pihak kami menggunakan data mereka untuk melakukan perancangan strategik,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

MUIS, JHEAINS digesa bincang, kajian bina kuarters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular