Badrul (kiri) diiringi Simon (dua kiri) bersama rombongan ketika melawat gerai pekan Kundasang.

MAFI Ambil Perhatian Masalah Dihadapi Oleh Pengusaha Pertanian Di Kundasang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 10 Second

KUNDASANG: Luahan masalah yang dihadapi para pengusaha pertanian khususnya penamaan sayur-sayuran di tanah tinggi Kundasang mendapat perhatian dari pihak Kementerian Pertanian dan Industri  Makanan (MAFI) Malaysia.

Setiausaha MAFI Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, beliau mendengar luahan masalah yang membelenggu para petani bagi mengusahakan pertanian mereka seperti kemudahan jalan raya yang sempurna, bekalan air bersih dan bekalan  letrik sepatutnya sudah lama dinikmati khususnya untuk tanaman pelbagai jenis sayur-sayuran tanah tinggi di Kundasang.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke Kundasang semalam, dan berkesempatan meninjau permasalahan yang dihadapi para pengusaha tanaman di kawasan itu.

“Masalah  ini saya akan kemukakan kepada pihak MAFI dan harapan kita akan dapat tindakan yang positif daripada  pihak kementerian berkaitan untuk mengatasi masalah yang dihadapi,” tegas Badrul, selepas mendengar luahan Persatuan  Pengusaha Pertanian Kundasang menerusi ucapan aluan Pengerusinya, Simon  Leong selepas  rombongan mengadakan tinjauan para penjaja sayur-sayuran di gerai pekan Kundasang dan lawatannya ke beberapa lokasi penanaman sayur di Kundasang terutama kawasan Mosilou dan Montoki.

Simon dalam ucapan alu-aluannya, merakam penghargaan dan berterima kasih atas kunjungan Datuk Badrul dan rombongannya ke Kundasang dan meninjau permasalahan yang menimpa para pengusaha tanaman sayur di sini.

“Saya mewakili seluruh warga petani di sini, berterima kasih atas kunjungan Datuk Badrul dan rombongan serta  amat mengharapkan ada bantuan daripada MAFI untuk menyelesai permasalahan kami di sini yang sudah sekian lama berlaku tetapi tiada penyelesaian dan bantuan dari pihak berwajib”, tegas Simon sambil menjelaskan yang selama ini para petani hanya berusaha sendiri untuk membolehkan mereka mengusahakan kebun mereka masing-masing.

“Ada banyak masalah yang kami hadapi untuk mengusaha pertanian khususnya tanaman sayuran bukan sahaja laluan jalan raya ke kawasan tanah pertanian, bekalan air bersih dan letrik malah dari aspek lain termasuk lokasi Pasar Borong yang tidak sesuai, tiada dapat subsidi, harga racun, baja dan harga peralatan pertanian juga melambung tinggi, MyGap dan kekurangan tenaga kerja berikutan ramai pekerja yang sudah balik ke tempat asal mereka berikutan pandemik Covid-19,” katanya.

Menurut Simon lagi, mereka juga memerlukan kursus pertanian, Green House yang boleh menjamin hasil keluaran yang berkualiti dan berterusan.

“Banyak yang boleh diusahakan para petani di sini, memandangkan kawasan Kundasang adalah antara destinasi pelancongan dengan daya tarikan Gunung Kinabalu serta cuaca sejuk amat sesuai sebagai lokasi pewujudan Agro Tourism, apa tah lagi jika ada Kilang Tomato, Tanaman Bawang Merah yang kelak boleh dihantar ke luar negeri”, tambah Simon.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Penasihat Persatuan Pengusaha  Pertanian Kundasang, Datuk Jimmy Tham Yok Leong, Pengarah Mardi Dato’ Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan  Naib  Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Umar Sarim Saidin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *