KPLB Peruntukkan RM150 Juta Untuk Program Pasca Banjir

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 22 Second

PADANG TERAP: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk bantuan pasca banjir termasuk inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

Menurut menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peruntukan itu selain Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia, ia juga digunakan untuk baik pulih jalan perhubungan desa dan Ameniti Sosial seperti longkang, surau, dewan orang ramai dan masjid di kawasan luar bandar di negeri yang terkesan dalam bencana itu.

“Bantuan pasca banjir yang diluluskan itu melibatkan negeri Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Kelantan, Terengganu, Johor dan Sabah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Naka di sini hari ini.

Tambah Mahdzir, bantuan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia untuk kerja-kerja membaik pulih rumah dan membina rumah baharu melibatkan peruntukan sebanyak RM38.5 juta setakat 9 Januari lalu.

“Peruntukan itu melibatkan kerja-kerja pembaikan sebanyak 1,879 buah rumah manakala 165 buah membina rumah baharu.

“Kerajaan Keluarga Malaysia, menetapkan kos siling bagi baik pulih rumah pasca banjir adalah RM15,000 dan RM56,000 bagi bina baharu setiap unit rumah yang rosak teruk,” jelasnya.

Setakat ini, KPLB telah menerima sejumlah 2,044 permohonan untuk membaik pulih dan membina semula rumah membabitkan kawasan luar bandar di negeri yang terjejas banjir itu.

Beliau turut menyatakan jumlah permohonan membaik pulih rumah dan membina semula rumah itu dijangka meningkat selepas pihaknya mendapat data dan maklumat terbaharu daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terlibat.

Dalam pada itu, sebanyak RM50 juta daripada peruntukan itu akan digunakan untuk membaik pulih jalan kampung dan jalan perhubungan desa yang rosak.

“Kementerian juga menyediakan peruntukan RM50 juta lagi untuk membaik pulih projek ameniti sosial seperti surau dan masjid,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *