Tindakan Tegas Diambil Terhadap Syarikat Langgar Syarat Ditetapkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU : Syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi diberikan amaran supaya sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan bekalan barangan kawalan itu sentiasa mencukupi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat pembungkusan semula yang didapati melanggar syarat ditetapkan.

Katanya, syarikat yang dilantik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memastikan pengeluaran minyak masak bersubsidi iaitu paket satu kilogram dipenuhi mengikut syarat diberikan dan dipasarkan untuk golongan sasaran dalam negara.

“Dengan ini saya memberi amaran kepada syarikat yang dilantik oleh KPDNHEP agar membuat perniagaan mengikut syarat-syarat yang diberikan, janganlah buat ketirisan atau melakukan perkara yang tidak dibenarkan selain daripada mengeluarkan paket satu kilogram untuk golongan sasar atau mengambil keuntungan besar dan menjual diluar.

“Jika ini berlaku, kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat pembungkusan semula yanggagal mematuhi syarat.

“Sudah tentu ini adalah untuk memastikan bekalan minyak masak bersubsidi kekal ada di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau proses pengendalian barangan Program Penyeragaman Harga di Pelabuhan Teluk Sepanggar, di sini, hari ini.

Alexander berkata, pihaknya turut mengakui menerima  banyak rungutan pengguna yang mengadu sukar mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi termasuk di negeri ini.

“Perkara ini sedang diteliti dan tindakan jangka pendek serta jangka panjang akan diambil selepas kementeran saya selesai meneliti punca yang menyebabkan masalah kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran.

“Ini juga antara tujuan kita ke Sabah dan kita dapati ia memang berlaku (kekurangan bekalan). Selepas balik nanti kita akan lihat bagaimana mengatasi masalah ini, sebab ia lebih kepada pembungkusan semula untuk diedar ke pasaran.

Dalam pada itu, Alexander berkata, Sabah tidak akan mengalami masalah penghantaran dan pengagihan barangan menerusi Program Penyeragaman Harga yang bekalannya dibawa dari Semenanjung.

Katanya, program yang dilaksanakan kerajaan sejak 2009 itu merupakan program yang sangat bermanfaat kepada rakyat di negeri terlibat termasuk Sabah.

“Melalui program ini, kerajaan menanggung kos pengangkutan dan penghantar barang untuk tujuh barangan subsidi,kawalan dari pembekal di bandar ke kawasan pedalaman terpilih.

“Program ini merangkumi program pengedaran barang perlu seperti beras, gula putih paket satu kilogram, tepung gandum satu kilogram dan minyak masak paket satu kilogram.  Ini juga termasuk Gas Cecair Petroleum (LPG) dan Community Drumming (Petrol RON96 dan Diesel.

“Tanpa program ini, barang-barang tersebut pastinya terpaksa dijual mahal kerana faktor pengangkutan dan transporter yang kini ditanggung oleh kerajaan,”katanya.

Alexander berkata, pada tahun ini kerajaan memperuntukkan sejumlah RM240 juta untuk Program Penyeragaman Harga yang melibatkan pengedaran barang perlu, gas petroleum cecairdan community drumming.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *