Letusan kuat gunung berapi dasar laut Tonga dirasai di seluruh dunia

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

NUKU’ALOFA: Letusan sebuah gunung berapi dasar laut di Tonga begitu kuat sehingga direkodkan di seluruh dunia dan mencetuskan tsunami yang membanjiri pesisiran Pasifik dari Jepun ke Amerika Syarikat, kata saintis semalam.

Imej satelit menunjukkan letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha’apai memuntahkan asap dan abu, dengan bunyi gemuruh kedengaran hingga 10,000km jauhnya di Alaska.

Agensi Geologi AS merekodkan letusan pada Sabtu bersamaan dengan gempa bumi 5.8 magnitud pada kedalaman sifar.

Namun tahap penuh kerosakan di Tonga tidak jelas semalam, dengan talian komunikasi terputus.

Ombak setinggi 1.2m melanda ibu negara Tonga, Nuku’alofa, dengan penduduk tempatan melaporkan batu kecil dan abu menimpa, dan mereka melarikan diri ke tempat yang lebih tinggi, meninggalkan rumah yang ditenggelami air, dengan ada yang mengalami kerosakan struktur.

Saintis New Zealand Marco Brenna, pensyarah kanan di Universiti Otago, menyifatkan impak letusan itu sebagai “agak ringan” tetapi berkata, kemungkinan satu lagi letusan dengan impak lebih besar tidak boleh diketepikan.

Ombak sekitar 1.2m melanda sepanjang pesisiran pantai Pasifik Jepun dengan Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran ombak dijangka mencapai 3m.

Di New Zealand, lebih 2,300km dari Tonga, 120 orang dipindahkan dari kawasan pesisiran pantai utara dan beberapa bot musnah apabila ombak besar menghempas sebuah marina.

Pantai Bondi yang popular di Australia dikosongkan sementara sebagai langkah berjaga-jaga, manakala di California, jalan-jalan di pesisiran pantai Santa Cruz dinaiki air dan ditutup kepada lalu lintas.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Alaska melaporkan Balai Cerap Gunung Berapi Alaska merekodkan letusan di Anchorage dan Fairbanks, “6,000 batu dari gunung berapi itu”.

Hunga-Tonga-Hunga-Ha’apai, yang terletak kira-kira 65km di utara Nuku’alofa, mencecah paras laut semasa letusan pada 2009.

Pada 2015, ia memuntahkan begitu banyak batu besar dan abu sehingga dapat membentuk pulau baharu setinggi 100 m, berukuran 2km panjang dan 1km lebar. – FMT

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *