Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag (dua dari kanan) diiringi Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program, Myrna Jimenez (tiga dari kiri) melawat ruang pameran dan jualan ketika hadir pada Majlis Perasmian Program Kepimpinan Dan Pameran Keusahawan Wanita sempena Sabah International Business Economic Summit (SIBES) 2022 di Magellan Sutera Harbour Hotel & Resort di sini, hari ini.

Kerajaan Prihatin Bantu Program Pembangunan Wanita Termasuk Kalangan Usahawan Wanita

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Program pembangunan wanita terus mendapat perhatian kerajaan untuk membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19, termasuk dalam kalangan usahawan wanita di negeri ini.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, berkata keprihatinan kerajaan itu terbukti menerusi Belanjawan negeri 2022, apabila kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM17.61 juta iaitu masing-masing sebanyak RM11.8 juta kepada Yayasan Usaha Maju dan RM5.81 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).

“Peruntukan ini adalah untuk pelaksanaan program pembangunan modal insan untuk kesejahteraan wanita. Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan dana pembiayaan berjumlah RM230 juta antaranya melalui program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tekunita menerusi Tekun Nasional (TEKUN), bagi
meningkatkan kapasiti perniagaan mereka, pada tahun ini.

“Justeru, saya berharap Program Kepimpinan dan Pameran Keusahawanan Wanita ini dijadikan platform untuk usahawan wanita meneroka lebih luas peluang perniagaan bersama rakan lain, termasuk berkongsi ilmu serta pengalaman.

“Program sehari ini adalah platform paling sesuai untuk usahawan berkumpul bagi mengeratkan silaturrahim, berkongsi ilmu terutama perkara baharu dalam dunia perniagaan, merebut peluang yang bersesuaian seterusnya memanfaatkan fasiliti yang telah disediakan oleh kerajaan dan agensi kewangan,” katanya ketika merasmikan Program Kepimpinan dan Pameran Keusahawanan Wanita (Woman Leadership and Entrepreneurs Showcase) di Magellan Sutera di sini pada Selasa.

Turut hadir dalam program itu ialah isteri Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datin Dayang Siti Noor Hayyat Ag Mohd Saufi; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program Women Leadership & Entrepreneurs sempena SIBES 2022, Myrna Jimenez; Pengasas RJKhan738 yang juga, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan dan Pengarah JHEWA, Rusnah Kuyung.

Juliah turut berharap agar acara pada hari ini dimanfaatkan sepenuhnya serta menjadi platform membina keyakinan diri dalam mendepani cabaran.

“Rebutlah semua peluang yang disediakan dan manfaatkanlah sepenuhnya segala ilmu yang diperoleh menerusi program ini. Wanita juga perlu cekal bukan sahaja dalam aspek fizikal dan mental, tetapi kebolehan mengurus emosi terutama pada masa kita masih berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Juliah turut mengucapkan syabas kepada pihak penganjur kerana telah membuka satu lembaran pemula di awal tahun khususnya ke arah pembangunan dan kemajuan keusahawanan wanita di bawah inisiatif Kerajaan Negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Dalam tempoh dua tahun ini kita telah melihat dan merasai kelembapan ekonomi kesan pandemik COVID-19. Golongan wanita juga terkesan secara langsung sama ada dalam bidang pekerjaan dan perniagaan.

“Dalam Laporan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu pada November 2020; bahawa walaupun lelaki dan wanita dibebani dengan kerja tanpa peningkatan gaji semasa krisis COVID-19, wanita lebih cenderung melepaskan kerjaya bagi menumpukan perhatian dan tanggungjawab di rumah.

“Dengan fakta ini, maka peluang menceburi dunia perniagaan bagi wanita dan suri rumah yang berminat dan berpotensi dalam dunia perniagaan, lebih terbuka luas,” katanya.

Program ini adalah aktiviti yang diilhamkan sempena Sabah International Business and Economic Summit (SIBES) 2022 yang berlangsung selama dua hari di Sabah sejak 17 Januari.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *