UMS Terima Dana RM2 Juta Bagi Projek Pemulihan Biodiversiti CSA Teluk Sandakan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Yayasan Sime Darby (YSD) menjalin kerjasama bagi melaksanakan projek pemulihan biodiversiti hutan, penyerapan karbon dan peningkatan perkhidmatan ekosistem di kawasan conservation set-aside (CSA), bertempat di Teluk Sandakan.

Projek ini telah dibiayai sepenuhnya oleh YSD dengan dana berjumlah sebanyak RM2 juta bagi tempoh tiga tahun.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, projek ini melibatkan empat ladang Sime Darby Plantation Berhad, iaitu ladang Sentosa, Tunku, Tun Tan Siew Sin dan Tigowis.

“Ia bakal memberikan manfaat kepada kakitangan estet menerusi peningkatan kualiti air daripada pemulihan tadahan air.

“Kami juga berhasrat untuk mewujudkan garis asas di mana perubahan jangka panjang dalam biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem boleh dipantau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Taufiq berkata, kerjasama ini akan meningkatkan perkhidmatan ekosistem yang lebih baik untuk komuniti hiliran selain memulihkan penampan riparian dan meningkatkan stok karbon serta biodiversiti dalam CSA.

Katanya, sokongan daripada YSD ini juga mencakupi peningkatan keupayaan tempatan dalam penyelidikan pemulihan hutan menerusi latihan pelajar prasiswazah dan pasca siswazah khususnya dari Fakulti Perhutanan dan Tropika UMS.

“Ini bertujuan untuk membina pengetahuan lokal di Sabah dan kemudiannya memanfaatkannya ke seluruh negara melalui pembangunan generasi penyelidik tempatan yang berkebolehan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YSD Dr Yatela Zainal Abidin berkata, selepas lebih dari sedekad menjalankan kerja-kerja pemuliharaan biodiversiti di Sabah dengan pelbagai organisasi, YSD amat teruja untuk memulakan satu kolaborasi baharu bersama UMS dengan sokongan dari Sime Darby Plantation.

“YSD percaya bahawa penambahbaikan di lapangan hendaklah bermula dari sains yang mana hasilnya adalah untuk kegunaan awam di samping mudah untuk dilaksanakan.

“Projek ini adalah penting untuk melihat keberkesanan pelbagai strategi pemulihan dan rehabilitasi yang menggunakan kos rendah dan cekap dalam penanaman di kawasan sebanyak 102 hektar.

“Ini akan meningkatkan biodiversiti dalam kawasan estet Sime Darby Plantation di Teluk Sandakan, yang merangkumi kawasan hutan dan penampan riparian di dalam lanskap kelapa sawit,” katanya.

Katanya, penyelidikan ini adalah bertujuan untuk memberi manfaat kepada semua pihak yang berkepentingan, memandangkan hasilnya akan dikongsi menerusi e-manual, bengkel dan dokumentari untuk kegunaan industri dalam kerja-kerja peningkatan biodiversiti di dalam dan di sekitar kawasan ladang.

Terdahulu, Taufiq turut merakamkan penghargaan kepada YSD atas penajaan dana bagi merealisasikan projek ini.

“UMS berbangga dapat bekerjasama dengan badan filantrofi korporat seperti Yayasan Sime Darby.

“Bagi kami di UMS, Yayasan Sime Darby dan semua entiti Sime Darby bukan sekadar entiti perniagaan. Sime Darby telah mengambil pekerja  tempatan, dan menggunakan kepakaran tempatan, dan ialah sebuah badan korporat yang berjiwa nasional. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan atas kerjasama dan peruntukan dana yang diberikan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *