Tiada PKP, Tiada Sekatan Balik Kampung Sempena Tahun Baharu Cina, Aidilfitri

Read Time:1 Minute, 24 Second

BERA: Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan balik kampung sempena Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri, tahun ini.

Memetik laporan Astro Awani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika terdapat peningkatan kes COVID-19 di sesebuah kawasan, kerajaan hanya akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang terbabit sahaja.

“Sudah ada orang yang buat spekulasi macam-macam, termasuk kononnya tak boleh balik raya kerana kes meningkat semula sejak beberapa hari lepas, namun jangan bimbang, kita tidak akan tutup lagi seluruh negara, atau negeri atau daerah kerana jaminan sudah diberikan.

“Pergerakan rakyat juga seperti biasa, tetapi kita akan memfokus kepada kawasan sasaran yang banyak berlaku penularan kerana kita ada PKPD.

“Jika kampung itu yang dikenakan PKPD, maka mereka dari kampung itu sahaja yang tidak boleh pulang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Bera di Pejabat Kemas Bera di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata cadangan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dibentang dalam mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan turut dihadiri wakil parti-parti pembangkang.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemukakan cadangan SOP itu secara terperinci, kerana keutamaan adalah untuk mengelakkan berlaku peningkatan kes positif COVID-19 akibat PRN itu.

“Kita serahkan kepada KKM untuk menentukan SOP secara terperinci dan saya boleh memanggil mesyuarat sidang khas MKN untuk membincangkannya,” katanya.

PRN Johor akan diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa semalam selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran selepas menerima menghadap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.