HomeSukan50 Pelajar Sains Sukan UMS Sertai Program Asas Memanah Tradisional

50 Pelajar Sains Sukan UMS Sertai Program Asas Memanah Tradisional

Read Time:2 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU : Seramai 50 orang pelajar jurusan Ijazah Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai sesi Program Pengenalan Memanah Tradisional yang dikendalikan Rawja Archery dengan kerjasama Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu disini semalam.

Program Pengenalan Memanah Tradisional terbabit merupakan salah satu pengisian aktiviti sempena program Perkhemahan Sukan Rekreasi ‘Conquer The Nature’ 2.0.

Presiden Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu, Mohd Suhaimi Sapiee berkata antara perkara yang diperkenalkan dalam program terbabit adalah pengenalan dan asas mengenai memanah tradisional, pengenalan peralatan memanah tradisional, tatacara keselamatan ketika memanah, adab dan sunnah memanah tradisional serta kepelbagaian jenis posisi dalam memanah tradisional.

Menurutnya, program terbabit juga merupakan pembuka tirai pengoperasian semula Arena Memanah Tradisional Pantai UMS selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah beralih kepada Pelan Pemulihan Nasional (PPN) Fasa 4.

“Pengisian aktiviti hari ini dimulakan dengan taklimat mengenai pengenalan memanah tradisional kemudian diteruskan dengan aktiviti praktikal memanah khusus berdasarkan silibus memanah yang dirangka Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu dan juga pertandingan di kalangan pelajar.

“Seramai 10 orang jurulatih dari kalangan pemanah tradisional Sabah yang berpengalaman membantu dalam membimbing golongan pelajar terbabit dalam program ini,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Dalam pada itu, Md Suhaimi turut berkata program terbabit juga merupakan salah satu langkah dalam mencari dan mengilap bakat pemanah tradisional baharu khususnya golongan belia di Sabah.

“Ini juga merupakan salah satu usaha untuk pihak kita melahirkan lebih ramai atlet pemanah tradisional di Sabah untuk bertanding ke peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

“Berikutan Arena Memanah Tradisional Pantai UMS ini juga satu-satunya tempat belajar memanah tradisional di Malaysia yang dibuat khusus di dalam institut pengajiaan tinggi awam, ini akan menjadi platform utama kita melahirkan lebih ramai pemanah tradisional.

“Selain itu, kita juga tekad untuk memperkenalkan dan mengajar ilmu memanah tradisional ini kepada orang awam bagi mengelakkan isu segelintir individu tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti memanah tanpa berguru sehingga mendatangkan masalah berkaitan keselamatan awam,” katanya.

Salah seorang pelajar Ijazah Sains Sukan UMS tahun kedua, Mohd Fadhil Awang Abdul Muthalif, 22, berasal dari Tawau berkata sebelum menyertai program hari ini, beliau mengakui menganggap memanah tradisional adalah sukan yang mudah.

“Pada mulanya saya beranggapan memanah tradisional semudah menarik tali busur dan anak panah tetapi apabila saya merasai sendiri pengalaman memanah, sangkaan saya jauh meleset.

“Memanah tradisional bukanlah perkara mudah namun pada masa yang sama saya berasa seronok dan ingin mencuba lagi,” katanya.

Seorang lagi pelajar Ijazah Sains Sukan UMS tahun kedua, Manisah Awang Kechil, 23, berasal dari Sandakan turut mempunyai pandangan sama.

“Kalau saya menonton siaran langsung sukan memanah di televisyen, saya menganggap ia seperti mudah namun selepas menyertai program ini, saya akhirnya sedar sukan ini memerlukan kita berguru dengan jurulatih dan juga berlatih.

“Saya sangat teruja dan berharap aktiviti seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

“Malah, semua jurulatih yang membantu kami dalam program hari ini, saya lihat mereka seakan-akan seorang perwira terutamanya apabila ketika mereka menunjukkan contoh secara praktikal,” katanya.

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC beraksi tanpa 6 pemain utama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular