HomeUtamaMasyarakat Tionghua Diminta Terus Bersama Majukan Sabah - Hajiji

Masyarakat Tionghua Diminta Terus Bersama Majukan Sabah – Hajiji

Read Time:1 Minute, 58 Second

RANAU: Masyarakat Tionghua diminta terus bersama-sama kerajaan untuk memajukan negeri sekali gus menjayakan agenda pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan kerajaan negeri pada Mac tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perpaduan yang terjalin dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini diharap tidak diganggu gugat dengan anasir-anasir yang mampu membawa kepada perpecahan.

“Saya berharap semoga Tahun Harimau dalam zodiak Cina pada tahun ini yang melambangkan kuasa, kehebatan dan keberaniannya akan terus membawa negeri kita maju ke hadapan dan rakyat hidup dalam keadaan aman damai,” katanya sempena majlis Penyerahan Kepala Singa kepada Dewan Perniagaan Tionghua Ranau dan perasmian Tahun Baharu Cina 2022 di Dewan Persatuan Hakka, di sini pada Khamis.

Pada majlis itu Hajiji turut menyerahkan enam kepala singa sebagai bantuan daripada kerajaan negeri kepada persatuan masyarakat Tionghua di daerah berkenaan.

Enam persatuan masyarakat Tionghua di Ranau yang menerima bantuan kepala singa itu ialah Dewan Perniagaan Tionghua Ranau; Persatuan Hakka Ranau; Tokong Chon Chu Kung Ranau; Persatuan Tarian Naga dan Singa Kinabalu Ranau; Persatuan Hokkien Ranau dan Persatuan Peranakan Tionghua Ranau.

Hajiji berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk bantuan kepala singa di seluruh negeri, bagi menggantikan kepala singa yang sudah usang.

Pada tahun ini, kerajaan negeri memberikan bantuan membekal kepala singa kepada tokong-tokong dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Penyerahan bantuan kepala singa sempena Tahun Baharu Cina pada tahun ini, jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sentiasa menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek serta sentiasa membantu rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya berharap sumbangan ini akan memberi manfaat dan memupuk semangat persaudaraan serta meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina dalam kalangan masyarakat Tionghua di daerah ini dan seluruh Sabah,” katanya.

“Sejak dua tahun lalu, kita tidak dapat mengadakan majlis seperti ini disebabkan pandemik COVID-19 hingga memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, dengan keadaan negara semakin pulih dan beberapa kelonggaran dibenarkan kerajaan dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini, ia membolehkan majlis seperti ini dianjurkan namun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” tambahnya.

Sementara itu, Kerajaan GRS pada tahun ini juga memperuntukkan jumlah yang besar kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam iaitu sebanyak RM47 juta sekali gus ini adalah jumlah paling besar yang diluluskan kerajaan negeri.

RELATED ARTICLES
Utama

Sydney dinobat pemenang peringkat serantau Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya