JPKA, MPMS Diseru Terus Beri Khidmat Efektif Kepada Masyarakat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Warga kerja Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) diseru untuk terus memberi perkhidmatan yang efektif kepada masyarakat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia termasuklah perkhidmatan yang berakauntabiliti, berintegriti, amanah dan progresif.

Katanya, ia adalah seiring dengan kepesatan transformasi kemajuan teknologi dan era digital kini yang mampan.

“Sebagai penjawat awam yang telah dilantik untuk berkhidmat dalam kerajaan, kita harus sedar bahawa kita diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Selaras dengan frasa ‘Saya yang menjalankan amanah’ kita perlu menghayati bahawa setiap perintah, tugasan dan tanggungjawab ialah amanah yang perlu digalas sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada MAjlis Apresiasi Perkhidmatan Cemerlang (APC) JPKA dan MPMS bagi tahun 2020 dan 2021 disini semalam.  Pada majlis itu, Shahelmey turut melancarkan Buku Laporan 5 JPKAS.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas pencapaian MPMS pada tahun lalu terutamanya menerusi inisiatif meningkatkan profesionalisme dalam kerja sosial, pelancaran program baharu Kasih dan Kongsi: Makanan untuk Kanak-Kanak dan penghasilan buku berkenaan Pandemik COVID-19 di Negeri Sabah yang bakal dilancarkan pada Mac 2022.

Pada majlis itu, seramai 52 pegawai JPKA Sabah dan MPMS diraikan dalam Majlis Apresiasi Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi Tahun 2020 dan 2021. 

Shahelmey berkata, penghargaan itu akan dapat memberi motivasi kerja dan impak positif kepada semua warga JPKA dalam membentuk ekosistem pekerjaan yang cemerlang dan selaras dengan halatuju kementerian dan kerajaan. 

Seramai 16 orang penerima APC bagi Tahun 2020 dan 15 orang penerima APC bagi Tahun 2021, dua orang pegawai bersara wajib pada bulan Januari 2022, manakala Anugerah Khas Pengarah JPKAS Tahun 2020 seramai 10 orang dan Penghargaan kepada sembilan barisan Jawatankuasa Pengurusan dan Jawatankuasa Kecil MPMS. 

Turut hadir, Pengarah JPKAS, Jais Asri, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Sr Lee Chun Khiong dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki dan Flovia Ng.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *