Dr. Joachim melihat keadaan pembetung di Kg. Dumpiring, Kundasang Ranau yang pecah dan tidak dapat menampung air menyebabkan air melimpah ke aras jalan.

JKR Diminta Baiki Parit, Pembetung Tersumbat, Pecah Akibat Arus Deras Air Hujan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

RANAU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau diminta untuk membaiki parit-parit dan pembetung-pembetung yang telah tersumbat dan pecah akibat aliran deras air berikutan hujan lebat sejak beberapa hari ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Kampung Kundasang Lama, Kg. Dumpiring, Kg. Dumpiring Atas dan jalan menuju ke Kg Bundu Tuhan untuk memantau keadaan jalan dan parit di sini, kelmarin.

Dr. Joachim berada di kampung berkenaan dengan diiringi oleh Penyelia Kemajuan Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang, Japli Madi.

“Parit-parit dan pembetung-pembetung didapati pecah dan tersumbat, ini perlu dibaiki dengan kadar segera,” kata beliau.

Pemilik inap desa (homestay) juga diingatkan untuk memastikan agar pembinaan inap desa berhampiran jalan raya besar tidak menambah masalah terutamanya parit tersumbat dan membersihkan kawasan ataupun membuat pembetung yang lebih besar untuk menampung jumlah air yang mengalir.

Beliau juga menyarankan agar penduduk kampung terutama di kawasan tanah tinggi menanam pokok bagi mengelak tanah runtuh.

Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian meminta semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) agar memaklumkan kepada pihak JKR dan konsesi untuk tindakan susulan.

Kelmarin, video mengenai banjir di Kampung Lembah Pantai, Kundasang, Ranau tular ekoran hujan berterusan.

Sehubungan itu, Dr. Joachim mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan JKR Ranau/ konsesi yang telah membuat pemantauan membersihkan banjir di jalanraya.

Beliau meminta penduduk supaya sentiasa waspada dan berhati-hati apabila hujan lebat melebihi dua jam, kemungkinan berlakunya kejadian tanah runtuh atau banjir kilat berlaku walaupun di kawasan pergunungan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *