Penerbangan Terus KK-Kuala Terengganu Berupaya Erat Hubungan Dua Negeri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Penerbangan terus menghubungkan Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu menerusi penerbangan syarikat tambang murah AirAsia mampu mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, penerbangan itu juga diyakini mampu merancakkan lagi industri pelancongan domestik sekaligus memulihkan pelancongan di negeri ini.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak AirAsia kerana memilih Kota Kinabalu Sabah sebagai salah satu laluan baharunya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin

“Saya juga berharap agar kerjasama ini dapat terus dilaksanakan dalam memulihkan industri pelancongan khususnya di Sabah yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19 sebelum ini,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Jafry berkata, dengan adanya penerbangan terus ini juga akan menjadikan Sabah akan lebih mudah diakses oleh pelancong bukan sahaja daripada Semenanjung malah pelancong antarabangsa.

“Saya mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk datang meneroka Sabah dan menikmati tawaran pelancongan serta kebudayaannya.

“Pihak kementerian saya akan terus menyokong AirAsia dan berharap untuk bekerjasama pada masa hadapan bagi mempromosikan industri pelancongan,” katanya.

Semalam,  penerbangan sulung AK5310 berlepas dari Kota Kinabalu tepat pada jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 5.40 petang.

Untuk rekod, penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas pada setiap hari Ahad dengan tambang promosi sehala tersedia untuk tempahan daripada serendah RM128 sahaja dari sekarang hingga 14 Februari 2022, untuk tempoh perjalanan dari 13 Februari hingga 30 September 2022.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *