COVID-19 : Sabah Terus Catat Kluster Babit Institusi Pendidikan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU : Sabah terus merekodkan kluster baharu membabitkan institusi pendidikan dengan pertambahan empat lagi kluster yang dilaporkan di Ranau; Sandakan dan  Kota Marudu pada hari ini.

Antara kluster yang dilaporkan iaitu Kluster Jalan Pendidikan Ranau; Kluster Sungai Batang Batu Sepuluh Sandakan; Kluster Jalan Tandek Kota Marudu dan Kluster Jalan Taman Beringin Kota Marudu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pertambahan kluster itu turut mencatatkan peningkatan kes baharu hampir dua kali ganda iaitu sebanyak 909 kes dengan kenaikan sebanyak 433 kes berbanding semalam.

Katanya, Kluster Jalan Pendidikan Ranau yang tercetus di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh Ranau melibatkan kes indeks seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun yang bergejala dan didapati positif selepas melakukan ujian saringan kendiri pada 29 Januari lalu.

“Sekolah dimaklumkan pada hari yang sama dan pelajar itu terus dikuarantin. Saringan pada 31 Januari mengesahkan pelajar itu positif. Saringan terhadap rakan sebilik, seasrama serta rakan sekelas mendapati 24 orang lagi positif.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif sehingga 4 Februari seramai 25 orang. Kesemua pesakit dikategorikan dalam Kategori 1 dan 2 (gejala ringan), telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, bagi Kluster Sungai Batang Batu Sepuluh Sandakan, ia melibatkan kes indeks seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Sekolah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens yang dikesan positif melalui saringan bergejala dan menunjukkan gejala demam pada 25 Januari lalu.

Katanya, saringan terhadap kontak rapat mendapati 49 lagi kes positif terdiri daripada pelajar asrama, pelajar harian, guru dan kontak keluarga menjadikan jumlah kumulatif seramai 50 orang.

“Semua mereka yang positif telah adalah dalam Kategori 1 dan 2 (bergejala ringan), diasingkan dan diberikan rawatan yang selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, Kluster Jalan Tandek yang dilaporkan di SMK Tandek 1 di Kota Marudu melibatkan kes indeks seorang pelajar berusia 15 tahun yang tinggal di asrama sekolah berkenaan.

Katanya, pelajar berkenaan mula bergejala pada 15 Januari lalu dan menjalani saringan pada 17 Januari dan didapati positif RTK Antigen.

“Saringan terhadap rakan seasrama dan sekelas mendapati seramai 34 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 35 orang.

“Semua mereka berada  dalam Kategori 1 dan 2 (bergejala ringan), telah diasingkan dan diberi rawatan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, bagi Kluster Jalan Taman Beringin di daerah Kota Marudu pula ia melibatkan SMK Bandau.

Katanya, kes indeks merupakan seorang pelajar wanita berusia 17 tahun yang menjalani saringan COVID-19 pada 19 Januari lalu sebelum menjalankan pemeriksaan di Hospital Queen Elizabeth (HQE2).

“Saringan PCR mengesahkan pelajar tersebut positif. Seterusnya saringan keatas kontak rapat mendapati 24 orang lagi didapati positif.

“Mereka terdiri terdiri daripada pelajar asrama, pelajar harian dan kakitangan sekolah. Semua mereka adalah dalam Kategori 1 dan 2 (bergejala ringan), telah diasingkan dan diberikan rawatan yang selanjutnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata, tiga daerah mencatatkan kes tiga angka hari ini dimana Sandakan mencatatkan angka tertinggi dengan 185 kes (+92), diikuti oleh Penampang dengan 115 kes (+44) dan Kota Kinabalu 101 kes (+24).

Katanya, jangkitan yang berpunca daripada kes bergejala di ketiga-tiga daerah ini juga tinggi iaitu Sandakan 37.84 peratus (70 kes), Penampang 33.04 peratus (38 kes) dan Kota Kinabalu 55.45 peratus (56 kes).

“Jumlah daerah dengan kes dua angka ialah 16 daerah berbanding 12 daerah sahaja semalam.  Antaranya Tuaran 86 kes (+42), Lahad Datu 57 kes (+40), Beaufort 57 kes (+39), Kota Marudu 53 kes (+37) dan Papar 36 kes (+27).

“Hanya empat daerah mencatatkan kes satu angka dan empat daerah lagi tidak mencatatkan sebarang kes baru.

“Hampir seluruh daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes dengan 10 daripadanya mencatatkan peningkatan pada kadar dua angka,” katanya.

Katanya, sebanyak 89 kes datang daripada Sembilan kluster aktif termasuk empat kluster baharu yang diumumkan hari ini.

“Kesemua kluster baharu hari ini adalah kategori kluster institusi pendidikan.  Sejumlah 900 daripada 909 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2. Terdapat lima kes dalam Kategori 3, tiga kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5,” katanya.

Kali terakhir Sabah mencatatkan kes di atas paras 900 kes ialah pada 30 September 2021 iaitu kira-kira empat bulan lalu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *