KPDNHEP Sabah Berjaya Kesan 65 Kes Sepanjang SHMKM

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU : Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya mengesan 65 kesalahan membabitkan kompaun sebanyak RM8,400 sepanjang pelaksanaan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang berakhir semalam.

Pengarahnya, Georgie Abas berkata, skim yang dilaksanakan bermula 7 Disember lalu turut memeriksa sebanyak 11,243 premis perniagaan di seluruh negeri.

Katanya, jumlah premis yang diperiksa itu turut termasuk pemeriksaan yang dijalankan semasa pelaksanaan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas pada 23 Disember hingga 31 Disember 2021 dan SHMMP Tahun Baru Cina pada 29 Januari yang berakhir semalam.

“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 65 kes telah dihasilkan oleh KPDNHEP Sabah dengan nilai rampasan keseluruhan kes terbabit adalah RM4,274.52.

“Semua 65 kes berkenaan telah dikompaun dengan jumlah keseluruhan bayaran kompaun sebanyak RM8,400.00,” katanya dalam kenyataan disini semalam.

Georgie berkata, kebanyakan tindakan kes yang direkodkan adalah kesalahan peniaga yang gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan kawalan musim perayaan.

Katanya, kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu direkodkan sebanyak 63 kes manakala kesalahan lain yang dilakukan adalah tidak mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual (1 kes) dan kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan (1 kes).

“Terdapat satu aduan diterima oleh KPDNHEP Sabah semasa SHMKM 2022 iaitu aduan berkaitan dengan penjualan barang kawalan SHMKM yang melebihi harga maksimum. Aduan tersebut telah disiasat dan tindakan kes telah dihasilkan.

“Secara umumnya, tahap pematuhan SHMKM 2021, SHMKM 2022, SHMMP Krismas 2021 dan SHMMP Tahun Baru Cina 2022 adalah memuaskan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *