Peniaga Diminta Patuh Langkah Intervensi Kerajaan Menerusi Pelaksanaan Harga Maksimum

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU : Semua peniaga diminta untuk terus mematuhi langkah intervensi Kerajaan menerusi pelaksanaan Harga Maksimum bermula hari ini sehingga 5 Jun depan bagi ayam dan telur ayam (Gred A, B dan C).

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas berkata,  pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi kerajaan serta pemain industri yang terlibat.

“Berikutan daripada pengumuman penetapan harga maksimum tersebut, saya bersama sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah telah menjalankan pemeriksaan mengejut di beberapa buah pasar raya tumpuan sekitar Putatan hari ini (semalam).

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di pasar raya utama mendapati berlakunya kekurangan daging ayam di premis-premis terbabit berikutan permintaan dan pembelian yang meningkat tinggi bagi keperluan perayaan Tahun Baru Cina.,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Georgie berkata, pada masa yang sama, terdapat ladang-ladang serta pembekal-pembekal daging ayam yang bercuti semasa Tahun Baru Cina.

Katanya, ia menyebabkan penghantaran daging ayam lewat dan bekalan kurang di premis-premis tersebut.

“Walau bagaimanapun, bekalan daging ayam dijangka akan kembali stabil bermula minggu hadapan.

“Kita juga akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi kerajaan, terutamanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, serta para pemain industri bagi memastikan bekalan daging ayam dan telur ayam sentiasa mencukupi di pasaran,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *