RANAU: Golongan belia disaran agar memanfaatkan usia muda mereka dengan menyertai program dan aktiviti yang berfaedah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, yang juga Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, para belia dan beliawanis harus bijak mencari dan menyertai aktiviti berfaedah sebagai benteng diri daripada terjebak dengan kegiatan terlarang seperti penagihan najis dadah, mencuri dan merosakkan harta benda awam yang sekiranya didapati dan disabitkan kesalahan akan merosakkan kehidupan masa depan apabila dikenakan tindakan undang-undang.
“Justeru saya menasihatkan generasi muda supaya menghindarkan diri daripada terlibat dengan apa juga kegiatan yang boleh menghancurkan masa depan mereka”, jelas Jonathan ketika merasmikan program Enduro Tournament anjuran Kelab Motosikal Lasak Komuniti Sarayo di Kg Tagudon Lama Ranau baru-baru ini.
Jonathan memuji Jawatankuasa penganjur program itu dan menyarankan agar lebih banyak aktiviti dianjurkan yang boleh mengajak golongan muda untuk menyertainya sekaligus antara wadah meningkatkan perpaduan dikalangan penduduk setempat.
“Program murni seperti ini diharap menjadi benteng kepada generasi belia daripada melibatkan diri dengan kegiatan tidak bermoral,” tambah Jonathan.
Sementara itu, pada program melibatkan 90 peserta dari tiga kategori itu, yang dipertandingkan menyaksikan kehebatan Nuramirul Antang untuk muncul juara kategori ‘Standard’ meletakkan Hanif Jairis Marif (naib johan) dan Jarawan Samikin menduduki tempat ketiga daripada 10 orang peserta.
Bagi Kategori ‘Open’ Johan disandang Reduan Agustine meletakkan Hanif Tapiris ditangga naib johan dan tempat ketiga diberikan kepada Hafiz menewaskan 7 peserta lain.
Kategori ‘Cubcross’ johan disandang oleh Darel Ping-pin diikuti Mohd Fadele (naib johan) dan Max Ben menduduki tempat ketiga daripada 10 peserta.
Hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Ranau (Pembangunan) selaku Pengerusi Penganjur, Aminin Manjun.
Dalam pada itu, Jonathan sempat berkenal mesra sambil menyantuni mereka dengan memberikan sumbangan wang tunai kepada penduduk kampung yang menjual pelbagai makanan, minuman ringan dan buah-buahan tempatan sekitar lokasi program.