Gender Focal Point Berupaya Bantu Kerajaan Salur Maklumat Berkaitan Gender

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Pelantikan Gender Focal Point yang terdiri daripada pegawai kerajaan negeri, persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia Sabah yang ditauliahkan menerusi program ‘Train The Trainers’ (TTT) berupaya menyampaikan maklumat berkaitan gender.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, mereka yang ditauliahkan itu akan menjadi jurulatih bagi membantu kerajaan dan Sabah dalam perjuangan kesaksamaan gender di masa hadapan.

“Saya difahamkan seramai 24 orang peserta dan penyelia ditauliahkan pada hari ini (semalam) dan saya ucapkan tahniah atas perjuangan dan komitmen dalam menjayakan serta melengkapkan program Train The Trainers.

“Objektif utama program TTT ini ialah memberi pengiktirafan kepada para peserta yang telah diangkat sebagai Gender Focal Point yang mana mereka ini boleh menyampaikan ceramah program-program berkaitan gender anjuran jabatan, organisasi luar dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pentauliahan TTT Kumpulan 1 Sabah Gender Focal Points disini semalam.

Shahelmey berkata, Sabah merupakan negeri ketiga di Malaysia yang telah melengkapkan program TTT bagi isu gender selepas Selangor dan Pulau Pinang.

Katanya, mereka ini juga berupaya memberikan pendedahan kepada jabatan, kementerian mahupun agensi luar tentang pakar gender yang telah ditauliah dan diiktiraf.

“Selaras dengan dasar wanita negara yang mendukung prinsip tiada diskriminasi berasaskan gender, dasar ini juga berhasrat untuk menjamin pembangunan dan pengupayaan wanita dengan mengarusperdanakan kepentingan wanita untuk mencapai potensi mereka.

“Salah satu strategi ialah meningkatkan komitmen di kalangan badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman termausk penggubal dasar, pembuat keputusan dan pihak penguatkuasa di sektor awam dan swasta serta masyarakat sivil bagi menghormati dan memelihara martabat wanita.

“Saya yakin dengan adanya Sabah Gender Focal Points ini kita mampu mencapai sasaran dasar wanita negara,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *