Jumlah mangsa banjir di Sabah naik mendadak kepada 719

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:54 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di daerah Pitas naik mendadak pagi ini kepada 719 mangsa daripada 236 keluarga, berbanding 313 orang daripada 96 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan empat pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dengan PPS Dewan Kampung Sinukab menempatkan mangsa teramai, iaitu 510 mangsa daripada 170 keluarga.

Tiga PPS lain ialah Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II kekal menempatkan 81 mangsa daripada 29 keluarga; Dewan SK Rukom (55 mangsa daripada 17 keluarga); dan Dewan Kampung Kusilad (73 mangsa daripada 20 keluarga).

Sebanyak 10 kampung terlibat banjir susulan hujan lebat sejak Ahad lepas dengan dua kampung terbaharu yang dilanda bencana itu malam tadi ialah Kampung Boribi dan Kampung Untang-Untang/Mulung Kulung.

Lapan lagi kampung terbabit ialah Kampung Tambilidon, Kampung Kalumpang, Kampung Taka, Kampung Saab Darat, Kampung Rukom Ulu, Kampung Kusilad, Kampung Desa Seberang dan Kampung Kanibongan.

Cuaca pagi ini cerah di Papar, Kota Kinabalu dan kawasan lain di pantai barat Sabah, bagaimanapun hujan di kawasan utara antaranya Paitan, Labuk serta Sugut dan kawasan tengah antaranya Telupid dan Tongod.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *