HomeUtamaMAFI Terus Komited Perkukuh Agenda Sekuriti Makanan Negara

MAFI Terus Komited Perkukuh Agenda Sekuriti Makanan Negara

Read Time:3 Minute, 4 Second

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus komited memperkukuhkan agenda Sekuriti Makanan Negara dengan mengadakan program Sesi Dialog Industri Agromakanan 2022.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, dialog yang bertemakan ‘Pemodenan dan Produktiviti Menjamin Sekuriti Makanan’ itu diadakan bertujuan untuk mengenal pasti isu sektor agromakanan khususnya aspek sekuriti makanan.

Katanya, ia juga adalah untuk mengambil langkah intervensi yang sesuai mengikut perkembangan semasa, menyeluruh serta holistik dalam usaha memperkasa sektor agromakanan negara.

“Tema ini dilihat selaras dengan penekanan yang diberikan melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 (2021-2030) yang antara lainnya memberi penekanan terhadap pemodenan sektor pertanian yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

“Selain daripada pemain industri sektor agromakanan, sesi dialog ini turut melibatkan penglibatan daripada jabatan dan agensi di bawah MAFI serta jemputan daripada kementerian, jabatan dan agensi lain yang berkepentingan dalam sektor agromakanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Dialog Industri Agromakanan disini hari ini.

Pada dialog itu, seramai 200 orang peserta secara fizikal dan 1,000 orang secara Webinar / Facebook Live telah hadir dan menyertai program dialog ini yang terdiri daripada kalangan pemain-pemain industri sektor agromakanan.

Ia merangkumi subsektor padi, tanaman, ternakan, perikanan dan keseluruhan rantaian agromakanan meliputi persatuan-persatuan dan pemain industri yang terlibat di sepanjang rantaian nilai sektor agromakanan seperti wakil pengeluar, syarikat peneraju, pengimport-pengimport dan pengeksport, serta wakil-wakil industri yang aktif terlibat dalam rangkaian pemasaran dan pemprosesan.

Ronald berkata, Dialog Industri Agromakanan 2022 itu merupakan salah satu inisiatif MAFI yang merupakan platform komunikasi dua hala secara terus bersama pemain industri selaras dengan pendekatan whole of goverment dan whole of society untuk berkongsi idea, pandangan, cadangan dan hala tuju kerajaan.

Katanya, ia juga turut mengeratkan kerjasama dan hubungan baik untuk MAFI terus memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat seiring dengan keperluan semasa khususnya melalui golongan sasar seperti petani, penternak dan nelayan serta semua pemain industri di sepanjang rantaian nilainya.

“Selain itu, inisiatif dialog ini mampu mengenalpasti isu-isu sektor agromakanan khususnya aspek sekuriti makanan sebelum langkah intervensi yang sesuai diambil mengikut perkembangan semasa, menyeluruh serta holistik dalam usaha untuk terus memperkasa sektor agromakanan serta menjamin sekuriti makanan,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, meninjau prestasi satu dekad yang lalu, sektor agromakanan terus mengekalkan daya tahan, dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terus meningkat daripada RM26.6 bilion pada tahun 2010 kepada RM51.3 bilion pada tahun 2020.

“Namun begitu, bagi memenuhi keperluan penduduk, negara pada hakikatnya masih perlu bergantung kepada import beberapa komoditi makanan utama seperti beras, sayur dan daging untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi pada setiap masa.

“Kita turut menghadapi cabaran perubahan iklim yang akan menjejaskan kemampanan sumber asli untuk aktiviti pertanian.

“Justeru, tahap penerimagunaan teknologi dan automasi dalam kalangan pengusaha perlu ditingkatkan, dilengkapi dengan pelaburan swasta serta penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi untuk memacu pertumbuhan sektor agromakanan.,” katanya.

Untuk rekod, sesi libat urus awal dengan pemain industri telah diadakan bagi mengenalpasti isu-isu utama setiap subsektor dan cadangan penyelesaiannya.

Di antara isu yang dibangkitkan adalah berkaitan subsidi / insentif, Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB), pengurusan tanaman padi, pendekatan teknologi Integrated Pest Management, pembangunan industri sarang burung walit, pembangunan industri hiliran, pengurusan buruh asing, pensijilan, tenaga buruh, lesen, kru asing, pengimportan, tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL), pemasaran dan kenaikan harga input, makanan dan peralatan.

Pandemik COVID-19 dan bencana banjir telah menguji daya tahan sistem makanan negara dalam mengatasi kejutan ekonomi dan ketidaktentuan.

Aktiviti pengeluaran makanan juga tidak dapat dilaksanakan secara optimum akibat daripada kekangan masa dan tenaga kerja yang mengakibatkan kerugian besar.

Kesan limpahan terhadap keseluruhan rantaian sistem makanan dan sekuriti makanan negara sehingga menyaksikan banyak norma baharu terpaksa dilaksanakan dan pendekatan-pendekatan baharu diperlukan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan sepanjang masa.

RELATED ARTICLES
Utama

Bersatu dalam meraikan kepelbagaian dan kepercayaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular