COVID-19 : Empat Kluster Libatkan Institusi Pendidikan, Tempat Kerja Dilaporkan Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU : Empat lagi kluster baharu dilaporkan di Sabah melibatkan institusi pendidikan dan tempat kerja pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tiga daripadanya merupakan institusi pendidikan yang dilaporkan masing-masing dua di Kunak dan satu di Kota Kinabalu.

Katanya, bagi kluster melibatkan tempat kerja, ia dilaporkan di daerah Kota Kinabalu iaitu Kluster Sutera 2.

“Kluster Jalan Getah di Kunak melibatkan kes indeks seorang pelajar perempuan yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak yang didapati positif selepas menjalani saringan kerana bergejala.

“Saringan keatas kontak rapat mendapati 21 orang lagi positif termasuk tiga kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif 22 kes. Mereka semua adalah dalam kategori ringan, telah diasingkan dan diberi rawatan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, bagi Kluster Madai yang juga di Kunak melibatkan kes indeks seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun di SMK Madai yang menjalani saringan kerana bergejala dan disahkan positif.

Katanya, jumlah kes kumulatif kes kluster ini ialah 40 kes, termasuk 10 kes baharu pada hari ini dan semua mereka berada dalam kategori ringan selain diasingkan dan diberi rawatan sewajarnya.

“Bagi daerah Kota Kinabalu, Kluster Jalan Gudon melibatkan kes indeks pelajar lelaki berusia 17 tahun yang bersekolah di SMK Bandaraya Kota Kinabalu yang didapati positif setelah menjalani saringan kerana bergejala.

“Jumlah kumulatif  kes setakat ini ialah 22 kes termasuk lima kes baharu hari ini. Semua mereka adalah dalam kategori ringan, telah diasing dan diberi rawatan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, kluster melibatkan tempat kerja dilaporkan di Kota Kinabalu iaitu Kluster Sutera 2.

Katanya, kes indeks merupakan kakitangan berusia 33 tahun yang bertugas di bahagian pengurusan di sebuah tapak pembinaan yang didapati positif setelah menjalani ujian saringan kerana bergejala.

“Saringan keatas kontak rapat mendapati 57 orang lagi pekerja dikesan positif. Semua kes telah diasingkan dan diberi rawatan selanjutnya,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *