COVID-19 : Jangkitan Sporadik Terus Jadi Penyumbang Utama Kes

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 63.13 peratus daripada 5,007 kes jangkitan COVID-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini adalah berpunca daripada jangkitan sporadik atau kes yang dikesan melalui saringan bergejala.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah peratusan itu mewakili 3,161 kes melibatkan 21 daripada 27 daerah di negeri ini yang mencatat peratusan tinggi kes jangkitan sporadik.

“Sabah mencatatkan kes harian sebanyak 5,007 kes, penyusutan 352 kes berbanding semalam. Walau bagaimanapun jumlah  ini masih amat tinggi dan peratusan tinggi jangkitan sporadik (dalam komuniti) adalah satu petunjuk bahawa jumlah kes harian di Sabah akan kekal tinggi dalam masa terdekat.

“Hari ini sebanyak 63.13 peratus kes baharu berpunca daripada jangkitan sporadik” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, seramai 4,986 orang atau 99.58 peratus daripada 5,007 pesakit hari ini adalah dalam kategori satu dan dua, lima orang dalam kategori tiga, 13 orang dalam kategori empat dan tiga orang dalam kategori lima.

Katanya, daripada 5,007 jangkitan baharu, 606 kes melibatkan kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang belum layak atau belum menerima vaksin manakala seramai 42 daripada 606 pesakit ini adalah bayi dibawah umur satu tahun.

Sementara itu, Masidi berkata, daerah Kota Kinabalu terus mencatatkan kes empat angka  sebanyak 1,265 kes (-97).

Katanya, bagi daerah-daerah lain pula, sebanyak 12 daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Penampang 719 kes (+136), Tuaran 466 kes (-28), Papar 398 kes (+105), Tawau 355 kes (+112), Sandakan 250 kes  (+43), Kota Belud 214 kes (+11), Beaufort 185 kes (-48), Putatan 167 kes (-290), Keningau 161 kes (-5), Kota Marudu 129 kes (-21), Ranau 121 kes (-26) dan Lahad Datu 113 kes (-131).

Tambahnya, sebanyak 14 daerah lain mencatatkan kes dua angka.

Dalam pada itu, Masidi berkata, terdapat dua kluster yang telah diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Kayul di Kuala Penyu yang merupakan Kluster Komuniti dan Kluster Pandan-Pandan di Putatan yang merupakan Kluster Institusi Pendidikan.

Katanya, jumlah kluster di Negeri Sabah yang masih aktif ialah 41 kluster.

“Di Beluran, satu kluster baharu institusi pendidikan diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Jalan Beluran Lama.

“Ia melibatkan pelajar Asrama SMK Beluran. Indeks kes adalah seorang pelajar lelaki, 18 tahun, warganegara dan dikesan melalui saringan bergejala pada 17 Februari lalu,” katanya.

Katanya, saringan terhadap kontak rapat telah mendapati pertambahan 34 kes dan secara keseluruhannya, jumlah kumulatif Kluster ini ialah 35 kes positif setakat hari ini.

“Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *