Kestabilan Politik Jadi Keutamaan Demi Kesejahteraan Rakyat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU : Kestabilan politik perlu terus menjadi keutamaan pada masa ini bagi memastikan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat terus terjaga.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, ekonomi akan terjejas sekiranya politik di negara ini tidak stabil seterusnya keselamatan dan kesejahteraan rakyat juga akan turut terjejas.

“Saya sering berkata dalam apa juga ucapan, semua perkara ini saling berkait rapat.  Sekiranya politik tidak stabil, keselamatan rakyat khususnya juga akan turut terjejas.

“Maka saya menyeru kepada semua masyarakat biarlah kita berpolitik secara matang, janganlah kita berpolitik sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Beg Sekolah di Kampung Warisan di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jumat Idris dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Nurfarahin Jumat.

Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, semua pihak perlu bersatu dan bekerjasama bagi membina keamanan dan kestabilan agar ekonomi negara khususnya Sabah dapat terus diyakini oleh pelabur-pelabur asing.

“Jika kita lihat beberapa tahun lalu dimana keadaan politik di negara kita tidak stabil, dunia dan rakyat di Malaysia menyaksikan banyak pelabur yang sudah ada dalam negara ‘angkat kaki’ kerana tidak yakin dengan keadaan politik negara.

“Jika pelabur beralih arah,sudah tentu banyak sektor ekonomi ditutup selain ramai rakyat juga akan hilang pekerjaan,” katanya.

Terdahulu, Yakub memuji usaha yang dilaksanakan oleh Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Warisan membantu penduduk yang terkesan akibat COVID-19.

Katanya ia termasuklah menyalurkan bantuan persekolahan seperti beg sekolah dan alat tulis kepada murid memerlukan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *