HomeIsu tempatanPKLM UMS-Yayasan Sabah Erat Kerjasama Konservasi Pemuliharaan Hutan Lembah Danum

PKLM UMS-Yayasan Sabah Erat Kerjasama Konservasi Pemuliharaan Hutan Lembah Danum

Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU :Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) mengeratkan lagi kerjasama bidang pemuliharaan hutan dengan Yayasan Sabah menerusi penganjuran Program Bersama Komuniti Konservasi Lembah Danum baru-baru ini.

Rombongan UMS diketuai oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Chm. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun sementara pihak Yayasan Sabah diwakili oleh Pengurus Kumpulan, Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar Yayasan Sabah, Dr. Waidi Sinun.

Taufiq ketika berucap pada sesi perjumpaan bersama warga komuniti konservasi Lembah Danum berkata, kesempatan kolaborasi menerusi program tersebut membolehkan ahli-ahli akademik dari UMS meningkatkan lagi kepakaran yang ada berkaitan konservasi hutan menerusi lawatan dan pertemuan bersama pelbagai pihak.

“Ini sekali gus menyumbang terus kepada usaha pihak Yayasan Sabah dalam memelihara dan memulihara kawasan konservasi.

“Pihak UMS juga akan turut meninjau potensi pemindahan ilmu yang sama di dua kawasan konservasi Yayasan Sabah iaitu di Imbak Kanyon dan Lembangan Maliau,” katanya.

Menurut Taufiq, beberapa projek pemindahan ilmu berasaskan komuniti yang dicadangkan dijalankan di kawasan tersebut seperti projek hidroponik, baja kompos, kemahiran berkomunikasi dan pembangunan teknologi maklumat.

“Projek pemindahan ilmu ini bakal meningkatkan lagi usaha komuniti untuk meningkatkan pengurusan kawasan konservasi Lembah Danum yang kian menjadi tumpuan para penyelidik, pelawat dan pelancong dari seluruh dunia.

“Justeru, UMS amat menghargai sambutan dan sokongan yang diberikan oleh pihak Yayasan Sabah khususnya pihak Komuniti Konservasi Lembah Danum terhadap program yang dirangka oleh Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM),” kata Taufiq.

Dalam pada itu, Pengarah PKLM, Dr Jakaria Dasan selaku Ketua Zon University for Society (U4S) Zon Borneo, dalam taklimat kepada komuniti menjelaskan bahawa program ini adalah salah satu usaha  pemindahan ilmu bagi kesejahteraan hidup komuniti terutama mereka di kawasan terpencil pedalaman negeri Sabah.

“Menerusi aktiviti yang diadakan rombongan UMS dan Yayasan Sabah berkesempatan melihat keindahan flora dan fauna di habitat asal dan tanpa sedar jarak untuk sampai ke Lembah Danum ini tidak dirasakan.

“Kepakaran yang diperlukan oleh komuniti akan segera dibincangkan di peringkat UMS untuk segera dilaksanakan dalam masa terdekat,” ujar Jakaria.

Antara pengisian program yang berlangsung selama empat hari itu adalah bird watching, taklimat mengenai Kawasan Konservasi Lembah Danum, sesi perbincangan aktiviti Pemindahan Ilmu di Lembah Danum, dan taklimat Universiti untuk Masyarakat bersama komuniti oleh PKLM.

Ini diikuti sesi lawatan ke Tapak Semaian dan Makmal Bio-Prospek Penyelidikan dan Pembangunan Kulat, Halia Liar, Tumbuh-tumbuhan ubatan dan Aromatik (TUB), dan aktiviti mendaki Bukit Danum bagi melihat pokok hutan tropika tertinggi di dunia iaitu pokok Seraya Kuning Siput dengan ketinggian 100.8 meter.

Rombongan UMS turut disertai Pengerusi Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita UMS (KESUMBA), Datin Dr. Amalina Abdullah; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Coswold Stephen Sipuat @ Mohd Nasri; Timbalan Pengarah PKLM merangkap Ketua Projek Pemindahan Ilmu UMS-Yayasan Sabah, Dr. Elia Godoong; Ketua Pejabat Canselori, Stella@Nurul Martini Gontol; Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Industri, Harniwaty Ahmad Ali; dan Ketua Bahagian Pentadbiran PKLM, Jumawati Catacutan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

KKFVA, STB capai persetujuan jalin kerjasama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular