COVID-19 : Kes Jangkitan Turun 237 Kes

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 di Sabah mencatat penurunan sebanyak 237 kes berbanding semalam menjadikan jumlah kes baharu sebanyak 4,770 kes pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes harian yang mencatat penurunan marginal sejak tiga hari yang lalu tidak dilihat sebagai satu trend yang akan berterusan.

Katanya, ini kerana jumlah jangkitan kes sporadik yang kekal tinggi pada hari ini iaitu sebanyak 63.56 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

“Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, daerah-daerah yang mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi juga mencatatkan peratusan tinggi kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadic.

“Peratusan kes jangkitan sporadik di Kota Kinabalu yang mencatat 1,198 kes baharu ialah 68.78 peratus, Penampang 596 kes (68.28 peratus), Papar 433 kes (72.5 peratus), Tuaran 412 kes (48.78 peratus), Tawau 372 kes (78.76 peratus), Putatan 298 kes (78.52 peratus) dan Kota Belud 192 (54.68 peratus).

“Peratusan kes jangkitan sporadik yang tinggi membantu dan memudahkan penularan virus dalam komuniti dengan lebih cepat kepada lebih ramai orang,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, Kota Kinabalu merekodkan angka tertinggi jangkitan baharu dengan 1,198 kes.

Katanya, sebanyak 12 daerah lain mencatatkan kes baharu tiga angka iaitu Penampang 596 kes, Papar 433 kes, Tuaran 412 kes, Tawau 372 kes, Putatan 298 kes, Kota Belud 192 kes, Keningau 143 kes, Beaufort 127 kes, Kota Marudu 121 kes, Sandakan 118 kes, Tambunan 105 kes dan Lahad Datu 103 kes.

“Tambunan mencatatkan pertambahan mendadak daripada 19 kes kelmarin kepada 105 kes (+96) hari ini manakala 14 daerah lagi merekodkan kes dua angka,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, sejumlah 4,755 atau 99.69 peratus daripada 4,770 kes hari ini adalah dalam Kategori satu dan dua.

Katanya, lapan kes dalam Kategori tiga, enam kes dalam Kategori empat dan satu  kes dalam Kategori lima.

“Antara pesakit-pesakit baharu ialah 234 kanak-kanak bawah umur lima tahun (62 orang bayi bawah satu tahun) yang belum layak divaksin dan 322 kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 11 tahun yang sudah layak divaksin tetapi belum memperolehinya,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *