GRS Perlu Fokus Kukuh Hubungan Antara Parti Gabungan, Tidak Perlu Tergesa Terima Rakan Kongsi Baharu

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu memberi fokus bagi mengukuhkan lagi hubungan erat antara parti-parti dalam gabungan sebelum menerima kemasukkan parti baharu.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai berkata, GRS yang kini dalam proses pendaftaran juga perlu mengekalkan rakan parti komponen sedia ada yang telah membuktikan komitmen serta perjuangan kepada rakyat.

Katanya, GRS terdiri dari parti-parti gabungan Perikatan Nasional (PN); Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“GRS tidak boleh tergesa-gesa untuk membentuk gabungan dengan parti-parti baharu dimana kesetiaan dan semangat rakan kongsi masih belum dibuktikan.

“Parti baharu yang berhasrat untuk menyertai GRS perlu menunjukkan aspirasi dan motivasi politik mereka serta sumbangan jangka panjang yang tulus dan ikhlas kepada GRS,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasrat Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony yang memohon untuk menyertai GRS.

Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS berkata, sebarang keputusan untuk menerima parti baharu, termasuk yang telah mengisytiharkan mesra GRS, ke dalam gabungan itu mesti mendapat kata sepakat daripada semua rakan kongsi sedia ada.

 “Apa yang kita mahu lihat ialah gabungan yang dibina berasaskan kepercayaan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan masa depan negeri.

“PBS percaya kepada kebijaksanaan Pengerusi GRS dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam memastikan keharmonian di kalangan semua rakan pengasas GRS kekal pada tahap tertinggi,” katanya.

Peter, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap telah mengumumkan keluar Parti Warisan pada Disember tahun lalu kerana parti itu telah tersasar daripada perjuangan terasnya apabila ia mengembangkan sayap ke Semenanjung.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.