HomeUtamaKemuka Penyata Bank Palsu, 19 Kontraktor Ditahan SPRM

Kemuka Penyata Bank Palsu, 19 Kontraktor Ditahan SPRM

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seramai 19 kontraktor selepas dipercayai mengemukakan penyata bank palsu bernilai kira-kira RM49 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM, Kota Kinabalu, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Katanya, penyata bank palsu tersebut dikemukakan sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa buah sekolah di seluruh Sabah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Katanya, kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan wanita tersebut akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

“SPRM Sabah pada tahun 2020 telah menahan seramai 39 kontraktor yang dipercayai mempunyai modus operandi sama melibatkan nilai kontrak berjumlah lebih RM80 juta,” katanya.

Susulan daripada tangkapan tersebut, jelasnya, sebanyak 132 pertuduhan telah berjaya dilaksanakan di Mahkamah Khas Rasuah di Sabah tahun lalu.

Tambahnya, SPRM memandang serius berhubung kesalahan tersebut dan susulan daripada kes-kes berkenaan, beberapa aktiviti pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan.

“Antara usaha yang telah dilaksanakan ialah mengadakan beberapa sesi  penerangan kepada pihak kontraktor seperti penganjuran seminar integriti bersama kontraktor hasil kerjasama antara Kementerian Kewangan Negeri Sabah dengan SPRM Sabah pada 25 Ogos 2020.

“Selain itu, SPRM Sabah pada 27 Mac tahun lalu juga telah mengadakan Forum Anti Rasuah: Peranan Kontraktor Dalam Menangani Rasuah hasil kerjasama antara SPRM Sabah, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan golongan kontraktor supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu bagi tujuan memasuki mana-mana kontrak kerajaan kerana ia merupakan satu kesalahan serius.

Di samping itu, beliau menyarankan Persatuan-Persatuan Kontraktor mengambil langkah proaktif dengan mengingatkan ahli-ahli mereka supaya jangan sesekali terlibat dengan kesalahan-kesalahan berkaitan.

Tambahnya, SPRM Sabah akan sentiasa bekerjasama dengan persatuan kontraktor bagi mendidik serta meningkatkan kesedaran golongan tersebut supaya mereka tidak terlibat dengan mana-mana salah laku khususnya kesalahan berkaitan rasuah.

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia: Rakyat Derita Kesihatan Mental  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya