COVID-19 : Sabah Rekod Jangkitan Dibawah Paras Angka 2,000

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 di Sabah kembali menurun dibawah paras angka 2,000 kepada 1,778 kes pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu merupakan 353 kes lebih rendah daripada jumlah semalam.

Katanya, Kota Kinabalu masih menjadi penyumbang utama kepada kes-kes harian di Sabah dengan 511 kes iaitu penurunan sebanyak 166 kes berbanding jumlah semalam.

“Kes-kes daftar lewat (backlogs) di Kota Kinabalu banyak mempengaruhi jumlah kes harian juga telah berkurangan dan hari ini cuma 71 kes tertangguh yang melebihi lima hari.

“Secara keseluruhan, terdapat tanda-tanda kearah penstabilan jumlah kes-kes harian. Sebagai perbandingan 17 daerah mencatat penurunan jumlah kes-kes baharu berbanding lapan daerah yang merekodkan pertambahan.

“Hanya tiga daerah mencatatkan kes-kes baharu pada kadar tiga angka, iaitu Kota Kinabalu 511 kes, Penampang 206 kes dan Tuaran 168 kes,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, sebanyak 21 daerah mencatatkan kes baharu dua angka dan tiga daerah lain masing-masing merekodkan kes-kes baharu satu angka.

Katanya, penstabilan dan penurunan kes-kes baharu banyak bergantung kepada sikap masyarakat dalam mematuhi semua prosedur standard operasi (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sikap masyarakat menjadi penentu utama kepada kejayaan kita memerangi ancaman COVID-19.

“Peratusan kes-kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik dalam komuniti masih terlalu tingggi, iaitu 65.47 peratus pada hari ini.

“Peratusan tinggi jangkitan sporadik adalah punca utama penularan virus dengan cepat dan meluas. Mengikut statistik hari ini, kes-kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik merupakan penyumbang utama kes-kes baharu di 23 daripada 27 daerah di Sabah,” katanya.

Katanya, sebanyak 1,745 atau 98.14 peratus daripada 1,778 kes-kes baharu hari ini adalah dalam Kategori satu dan dua, 11 pesakit dalam Kategori tiga, 13 orang dalam Kategori empat dan sembilan orang dalam Kategori lima.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *