Mahdzir khalid

Semakan Tawaran Kemasukan Ke MRSM Mulai Rabu Ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

KUALA LUMPUR: Calon-calon bagi kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tingkatan 1 dan 4 tahun 2022 boleh membuat semakan tawaran bermula Rabu, 9 Mac 2022.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam kenyataannya hari ini berkata, MARA kekal dengan dasar 60 peratus pengambilan pelajar daripada keluarga B40 selain keutamaan juga kepada calon luar bandar dan miskin bandar.

“Calon yang berjaya ditawarkan ke MRSM akan menerima notifikasi menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.

“Pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi MARA di www.mara.gov.my. dan makluman terkini berkenaan tawaran juga boleh didapati melalui media sosial MARA seperti Facebook, Twitter dan Instagram,” katanya.

Mahdzir turut menjelaskan, calon yang berjaya perlu membuat pengesahan penerimaan tawaran kemasukan ke MRSM dalam tempoh tujuh hari menerusi pautan dalam portal berkenaan.

Sekiranya calon tidak membuat pengesahan penerimaan dalam tempoh tersebut, tawaran berkenaan dianggap terbatal.

“Calon yang tidak berjaya masih boleh membuat rayuan secara online di pautan yang sama bermula 9 Mac 2022 sehingga 16 Mac 2022 dan tidak perlu hadir secara fizikal.

“Sebarang pertukaran program dan penempatan MRSM adalah tidak dibenarkan,” ujarnya.

Sekiranya pemohon tidak menerima sebarang makluman tawaran sehingga 31 Mei 2022, permohonan adalah dianggap tidak berjaya.

Untuk rekod, MARA tahun ini menerima 74,500 permohonan ke tingkatan 1 dan 4 MRSM.

Berbanding kapasiti kemasukan pelajar ke tingkatan 1 seramai 7,949 orang dan tingkatan 4 seramai 1,930 orang pelajar.

MRSM menawarkan 6 program iaitu MRSM International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), MRSM International Baccalaureate-Middle Year Programme (IB-MYP), MRSM Ulul Albab, MRSM Program Bitara, MRSM Premier dan MRSM Teknikal di bawah Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *