Sabah FC Tidak Pernah Meminggirkan Pemain Tempatan Beraksi Dalam Liga Malaysia 2022

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Tiada istilah ‘pilih kasih’ dalam pemilihan pemain yang diturunkan Sabah FC dalam satu-satu perlawanan sehingga meminggirkan beberapa pemain tempatan beraksi menghadapi saingan Liga Malaysia 2022.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, kemampuan para pemain akan dinilai sebelum mereka disenaraikan sebagai kesebelasan utama pasukan.

“Apabila saya menubuhkan satu pasukan baharu Sabah FC, sebenarnya tidak timbul soal isu yang mana saya harus memainkan pemain tempatan ataupun pemain daripada mana sekalipun.

 “Apa yang penting bagi saya, jika mereka mampu beraksi sebagai kesebelasan utama mereka tetap akan diturunkan dan setiap pemain yang diturunkan mereka bukan beraksi untuk diri sendiri tetapi mereka memakai lencana kebanggaan di dada iaitu Sabah FC dengan memastikan mereka mampu mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

“Saya tidak nampak ini merupakan sebagai satu isu utama, kecuali ada segelintir dalam kalangan mereka sengaja untuk menimbulkan masalah ini sehingga mengganggu perjalanan pasukan dalam menghadapi saingan dalam Liga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sebagai mengulas rungutan segelintir penyokong Sabah FC di media sosial yang melihat pasukan kendaliannya tidak menyenaraikan pemain tempatan pada perlawanan pertama Liga Super 2022 menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), Jumaat lalu di Stadium Likas.

Mengulas mengenai pertemuan dengan PJ City FC rabu ini, Kim Swee berkata pasukan ini bermain 100 peratus sepenuhnya menggunakan tenaga pemain tempatan sekaligus berjaya menewaskan Melaka United FC dalam pertemuan pertama lalu.

“Kita tahu pasukan PJ City FC sudah bersama-sama lebih kurang tiga tahun dengan pemain yang sama dan mereka membuktikan walaupun bermain tanpa pemain import mereka mampu beraksi dengan cemerlang.

“Sudah tentu ini merupakan satu tugasan yang lebih mencabar dan saya percaya pasukan PJ City merupakan satu pasukan yang cukup baik walaupun tanpa pemain import,” katanya.

Dalam pertemuan ini Kim Swee berkata Sabah FC masih mengekalkan beberapa pemain import sedia ada berikutan mereka menunjukkan prestasi cemerlang ketika menentang Negeri Sembilan FC minggu lalu.

“Kita tahu kekuatan pemain-pemain PJ City FC yang berpengalaman termasuk K. Gurusamy, Darren Lok, S. Kumaahran dan Mahali Jasuli. Mereka ini merupakan bekas pemain kebangsaan tetapi mereka masih lagi mempunyai nilai persembahan yang cukup baik.

“Kita tidak boleh hilang fokus dan harus kekal fokus sehingga akhir perlawanan. Seharusnya kita mesti mencapai keputusan positif menentang PJ City FC rabu ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *