Guna ICT Sebaiknya Dalam Membestarikan Diri, Keluarga

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

TAMPARULI: Masyarakat diingatkan agar memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam membestarikan diri dan keluarga masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, kemudahan ICT dan kepakaran ilmu dalam teknologi maklumat perlu diguna pakai masyarakat tanpa mengira umur ke arah perkara yang lebih positif.

“Kembangkanlah ilmu tersebut, bawa pulang dan ajar semua ahli keluarga yang masih belum berkemahiran,” katanya.

Saranan beliau itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, yang mewakili beliau merasmikan Program Kursus Mobile ICT tajaan Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi di Balai Muhibbah Kampung Kionsom, dekat sini pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi JPKK Kampung Kionsom, Jamuni Mandakal, para pemimpin masyarakat Tamparuli, dan wakil perserta, Primus Kinsam.

Ketika ditemui, Jilias menambah, program seumpama itu sangat baik diadakan, dan memohon agar kawasan (Mukim) lain akan turut diambil kira untuk mengadakan kursus yang sama kelak.

Katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan pihak kerajaan untuk orang ramai mendapat manfaat kemudahan ICT hingga ke peringkat kampung, yang memberi gambaran betapa komitednya pihak kerajaan dalam menjayakan hasrat ini.

Terdahulu, Pengerusi Pusat e-Desa Topokon, Yatimah Razimin, yang juga penyedia latihan sepanjang dua minggu program berkenaan, menghargai komitmen yang diberi oleh semua peserta program berkenaan.

Menurutnya, kursus sebanyak 12 kelas itu diadakan sejak 20 Februari dan berakhir pada 06 Mac 2022.

Program itu merupakan anjuran bersama Pusat e-Desa Topokon, Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kionsom, dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Topokon.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *