COVID-19 : Kluster Kumpulan Berisiko Diisytiharkan Di Tuaran

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan satu kluster baharu dalam kategori Kumpulan Berisiko yang diisytiharkan di daerah Tuaran pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster itu melibatkan pusat penjagaan kebajikan Hope Village di Jalan Tambalang Tuaran.

Katanya, Kes indeks ialah seorang pelajar perempuan warganegara berumur 20 tahun yang sedang menjalankan sesi praktikal di pusat penjagaan berkenaan dan tinggal di kuarters pekerja.

“Beliau dikesan positif melalui saringan bergejala pada 5 Mac lalu. Saringan keatas kontak-kontak rapat telah mendapati 59 orang lagi telah dijangkiti menjadikan jumlah kumulatif 60 pesakit setakat hari ini.

“Siasatan lanjut masih berjalan dan mereka yang positif telahpun diasingkan dan diberi rawatan yang sewajar.

“Untuk rekod, Kluster Institusi Pendidikan Jalan Getah di daerah Kunak ditamatkan hari ini,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kes jangkitan COVID-19 di Sabah hari ini meningkat 49 kes menjadikan jumlah kes harian adalah sebanyak 845 kes dilaporkan pada hari ini.

Katanya, pertambahan ini berpunca daripada jumlah jangkitan baharu yang meningkat di Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran.

“Kota Kinabalu mencatat 227 kes hari ini, tambahan 50 kes daripada catatan semalam dan Penampang pula kembali kepada tiga angka dengan 105 kes, naik 44 kes berbanding jumlah semalam.

“Kota Kinabalu dan Penampang merupakan dua daerah yang mencatat kes baharu tiga angka. Papar yang mencatat 102 kes semalam merekodkan hanya 82 kes baharu hari ini.

“Tuaran yang mencatat 57 kes semalam menambah 24 kes hari ini kepada 81 kes. Ini berpunca daripada satu kluster baharu yang diisytiharkan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, Telupid merupakan satu-satunya daerah di Sabah yang tidak mencatat sebarang kes baharu hari ini.

Katanya, tujuh daerah pula masing-masing mencatatkan kes dibawah paras 10 kes, dan daerah-daerah lain mencatatkan  kes dua angka kecuali Kota Kinabalu dan Penampang yang mencatat kes tiga angka.

“Walaupun jumlah jangkitan harian semakin stabil tetapi peratusan jangkitan sporadik masih tinggi, hampir 61 peratus daripada kes keseluruhan hari ini.

“Risiko dan ancaman penularan virus dengan cepat dan meluas tetap ada. Semua lapisan masyarakat perlu mematuhi semua prosedur standard operasi (SOP) setiap masa,” katanya.

Katanya, seramai 831 atau 98.35 peratus daripada 845 pesakit baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, lima orang dalam Kategori 3, lapan orang dalam Kategori 4 dan seorang dalam Kategori 5.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *