KOTA KINABALU :Kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai sektor pembangunan negara termasuk di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia termasuklah sumbangan golongan wanita yang mewakili 48.62 peratus populasi di Malaysia.
“Oleh itu, tidak dapat dinafikan sumbangan wanita dalam negara, lebih-lebih lagi wanita adalah tulang belakang keluarga yang menjadi asas kepada sesebuah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis `International Women’s Day dinner And Awards 2022’ disini semalam.
Shahelmey berkata, Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac setiap tahun adalah bagi meraih dan menghargai golongan wanita.
Katanya, tema hari wanita iaitu ‘saksama bersama’ pada tahun ini adalah bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama.
“Kepentingan bagi mencapai kesaksamaan bersama adalah bagi memastikan potensi wanita dapat ditingkatkan dan diangkat martabat mereka untuk bersama-sama membina negara bangsa yang mempunyai minda kelas pertama,” katanya.
Dalam pada itu, Shahelmey turut merakamkan penghargaan kepada IKSnita Sabah yang tidak pernah berputus asa melaksanakan pengiktirafan kepada para wanita khususnya di negeri ini.
“Tahniah juga diucapkan kepada penerima-penerima anugerah pada malam ini (semalam). Saya yakin dan percaya para wanita yang terpilih ini adalah wanita-wanita hebat yang banyak menyumbang kepada masyarakat, negeri dan negara serta berjaya dalam bidang yang telah diceburi.
“Saya berharap lebih ramai lagi wanita yang akan berjaya dalam bidang yang mereka ceburi di masa akan datang. Saya juga percaya, IKSnita akan meneruskan usaha murni mereka dalam membimbing para usahawan wanita di negeri ini,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 22 orang menerima anugerah melibatkan ‘Outstanding Women Award 2022’ (16 penerima); ‘Young Outstanding Women Entrepreneur Award 2022’ (2 penerima dan ‘Loyalty Award 2022’ (4 penerima).